Sorting by

×

Kedatangan pelancong ke Melaka meningkat

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH – Jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Melaka bagi tempoh separuh pertama 2022 menunjukkan peningkatan yang ketara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, jumlah pelancong berkunjung ke Negeri Melaka setakat Jun lalu adalah seramai 2.479 juta orang berbanding 739,000 sepanjang tempoh sama 2021.

Katanya peningkatan itu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan menjadikan Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan wajib dikunjungi seiring dengan tema Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia dan Melaka Bandaraya Warisan Dunia (Unesco).

“Ini termasuklah menambah lebih banyak produk dan pakej pelancongan baharu yang segar serta menepati citarasa pelancong.

“Justeru, saya meminta semua penggiat industri pelancongan khususnya di Negeri Melaka agar dapat berganding bahu menggiatkan lagi usaha ke arah meningkatkan sektor pelancongan.

“Semua ini dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035),” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Pesta Bunga Melaka 2022 di Taman Seribu Bunga, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sementara itu lafaz perasmian Pesta Bunga Melaka 2022 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

photo1672396058
Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam ketika hadir merasmikan Pesta Bunga Melaka 2022 di Taman Seribu Bunga, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron.

Menurut Sulaiman, penganjuran Pesta Bunga Melaka 2022 antara acara utama dalam kalender pelancongan Negeri Melaka bagi tahun ini.

Pesta bertemakan ‘Pesona Warna Menggamit Dunia’ itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya ‘Garden Showcase’ iaitu pameran dan dekorasi hiasan bunga.

Selain itu, turut diadakan ‘Blossom of Light’ (hiasan lampu berwarna), ‘Floating Flower’ (hiasan bunga terapung), ‘Floral Relaxing Spa’, ‘Orchid Garden’, ‘Giant Chess’ dan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.

“Saya yakin, program seperti ini bukan sahaja dapat memberi ruang dan peluang kepada pengunjung beriadah bersama keluarga tetapi juga membantu lebih ramai usahawan tempatan menjana pendapatan tambahan.

“Program ini juga secara langsung mempromosikan pelancongan eko di Taman Seribu Bunga, sekali gus terus mempromosikan acara pelancongan Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2933
Kongsi :
Previous post JKM siasat, sedia laporan terperinci kes kanak-kanak maut didera
Next post Laman MPJ tercantik di Pesta Bunga Melaka 2022
Ubah saiz-+=