Kedaifan Puan Umi dapat perhatian Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KESIDANG 22 April – Kedaifan ibu tunggal Umi Nur Faizah Ali Halimi, 39, yang mengutip kotak untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara empat anak mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Umi yang terharu dengan keprihatinan semua pihak berkenaan berkata, selain membiayai keperluan persekolahan anak dia turut menggunakan sumbangan diterima untuk membayar wang dipinjam daripada kenalannya.

Dia berasa amat tersentuh selepas tidak putus-putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak seperti jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan persendirian selepas kisah hidupnya disiarkan media.

“Saya ada meminjam wang daripada kenalan untuk membeli buku sekolah anak, menggunakan sumbangan tunai diterima dapatlah saya jelasnya semuanya sekali.

“Syukur keperluan persekolahan anak semua sudah lengkap, malah sumbangan barangan makanan untuk kami juga sudah lebih daripada mencukupi.

“Alhamdulilah, terima kasih rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Muhamad, Balai Panjang, Malim, di sini, hari ini.

Terdahulu Umi menerima kunjungan Setiausaha Perhubungan Khas Ketua Menteri, Datuk Ghafar Misdar yang menyampaikan sumbangan makanan asas dan duit raya.

Lawatan itu turut disertai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Khidmat Musaadah (BKM) Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Tabung Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Wanita tabah itu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk membesarkan empat anaknya, Umi Emelda, 15, Umi Umayrah, 13, Umie Nur Arina Aufa, 9, dan Umie Nur Nimrah, 7, selepas suaminya Muhamad Yusni Yusuf meninggal dunia tahun lalu.

Sementara itu Ghafar berkata, pihaknya menerusi jabatan berkenaan akan meneliti keperluan semasa keluarga Umi untuk membantu meringankan beban ditanggung ibu tunggal itu.

“Ketua Menteri amat prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga ini dan membantu menyediakan keperluan yang secukupnya buat empat puan Umi.

“Kita lihat bantuan JKM sudah ada cuma diharapkan selepas ini Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dapat sediakan bantuan membayar sewa rumah RM350,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

718
Kongsi :
Previous post Radhi OAG mengaku tak bersalah cederakan isteri
Next post Tiga maut terperangkap dalam kebakaran di pusat hiburan karaoke
Ubah saiz-+=