Sorting by

×

Kedai makan Melayu guna robot pelayan

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

MELAKA 21 Mac. – Melihat dari luar Restoran Nasi Ayam Baba dekat Taman Merdeka kelihatan sama dengan kedai nasi ayam lain yang terdapat di mana-mana sekarang ini.

Namun, tanggapan ini pasti berubah dan mungkin ada dalam kalangan kita terkejut apabila tiba-tiba setelah memesan makanan dan minuman, anda didatangi ‘Kak Nab’, panggilan untuk pelayan robot akan menghidang nasi ayam dan minuman yang baharu anda pesan tadi.

Terletak di Jalan Pegaga Taman Merdeka, Restoran Nasi Ayam Baba menjadi antara kedai makanan Melayu pertama di Malaysia yang menggunakan robot sebagai pelayan di premis mereka selain beberapa kedai makanan sedia ada yang diusahakan oleh peniaga bukan Islam di Bandar Hilir.

PELANGGAN mengambil makanan dipesan yang dihantar ‘Kak Nab’.

Menurut Penyelia restoran itu, Mohd. Rozali Muda, pemilik restoran berhasrat mencipta kelainan dengan memperkenalkan robot sebagai pelayan di situ dan mengeluarkan kos perbelanjaan membeli Kak Nab pada harga RM40,000 sebuah.

“Walaupun agak mahal, namun usaha pemilik berbaloi kerana sejak tiga bulan memperkenalkan Kak Nab, boleh dikatakan hampir setiap hari restoran kami sentiasa dikunjungi pelanggan berbanding sebelum ini, pendapatan hasil restoran juga bertambah.

“Selain ingin mencuba menu istimewa iaitu nasi ayam, pelanggan juga kelihatan teruja untuk bertemu dan melihat Kak Nab dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui MHI.

MOHD ROZALI…pemilik restoran berhasrat mencipta kelainan dengan memperkenalkan robot sebagai pelayan.

Katanya, selain menghidangkan makanan, Kak Nab juga mampu membuat tugas lain termasuk menyanyikan lagu Hari Jadi kepada pelanggan yang berhasrat membuat sambutan ulang tahun di premis restoran berkenaan.

“Kak Nab akan datang menghantar makanan ke meja pelanggan dan selepas itu, pelanggan mengambil pesanan yang terhidang di ruang letak dan terakhir menekan butang selesai.

“Menggunakan robot ini sangat memudahkan operasi kerja harian di restoran dan setakat ini, Kak Nab belum menimbulkan apa-apa masalah lagi malah kerja lebih lancar,” katanya.

Menurut beliau, biarpun kini sudah mempunyai robot, pihaknya tetap memerlukan tenaga 40 pekerja di restoran itu dan bakal membuka cawangan ketiga di Bukit Rambai pada 1 April ini.

Ujar Mohd Rozali, Restoran Nasi Ayam Baba sudah beroperasi selama empat tahun di Melaka, Taman Pegaga adalah cawangan pertama manakala kedua di Hang Tuah Mall.

“Majikan belum buat keputusan lagi sama ada ingin menggunakan robot sebagai pelayan di cawangan lain, terpulang kepada respon pelanggan nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3885
Kongsi :
Previous post ‘Menang bukan sebab dipotong tiga mata’
Next post Pembinaan kelong tingkat ekonomi nelayan
Ubah saiz-+=