Kedai kopi ‘port’ judi dalam talian – KM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 14 Mac – Kerajaan Negeri akan memperluaskan Jawatankuasa ‘Task Force’ ke seluruh daerah dalam usaha membanteras aktiviti judi dalam talian.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata ia berikutan terdapat individu di negeri ini cuba menggunakan kedai kopi sebagai lokasi aktiviti perjudian.

“Seperti saya sebut ‘melentur buluh elok dari rebungnya’ sebab itu banyak berlaku kerosakan dan keruntuhan rumah tangga akibat daripada judi ‘online’ ini.

“Dahulu kita duduk kedai kopi untuk berbincang antara satu sama lain, tetapi sekarang dengan teknologi canggih ‘smart phone’ (telefon pintar) mereka duduk ramai-ramai tidak berbual antara satu sama lain, sebaliknya khusyuk mengadap smart phone untuk melakukan judi dalam talian.

“Insya-Allah task force ini kita akan perluaskan ke peringkat daerah melibatkan semua agensi termasuklah Japerun dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (DAP- Kota Laksamana) mengenai Jawatankuasa Task Force yang akan diperluaskan ke setiap Japerun pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua, hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, task force berkenaan juga akan melibatkan pihak sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Setiap ahli task force dipertanggungjawabkan menghapuskan judi dalam talian ini. Kita akan panggil mereka untuk berbincang kaedah membanteras aktiviti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1205
Kongsi :
Previous post Usul tergempar tidak pakai tali leher diluluskan
Next post Lelaki Orang Asli lemas ketika jala ikan
Ubah saiz-+=