Kedai kopi ‘port’ Ah Sem bersama rakyat

Masa Membaca:4 Minit, 7 Saat

MACHAP JAYA 25 November – Keselesaan dan mensejahterakan rakyat menjadi fokus Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Ngwe Hee Sem, dalam membangunkan kawasan pentadbirannya yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk.

Bagi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, melihat susuk tubuh Hee Sem atau lebih mesra disapa Ah Sem, berada di kedai kopi bersama penduduk setempat bukan sesuatu yang pelik malah gelagat mereka seakan rakan baik yang sedang ‘lepak’ hakikatnya ada rintihan dan keluhan rakyat yang didengari.

Menurutnya, meskipun berdepan dengan bermacam isu rakyat yang dibangkitkan namun perbincangan dan penyelesaian segera perlu diambil bagi memastikan rakyat tidak terkesan dan menanggung akibat.

TANGANI BANJIR

Antara situasi dan pemasalahan yang diberikan perhatian serta diambil tindakan awal dilaksanakan pihaknya, adalah mengatasi masalah banjir meskipun hanya dua lokasi panas di DUN Machap dikenal pasti.

“Apabila kesan sesuatu kawasan itu berpotensi berlaku banjir, langkah pertama atau segera diambil, kita akan mengorek atau membesarkan laluan air atau longkang dengan menyewa jentolak selain akan bersama-sama dengan kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ke lokasi-lokasi dikenal pasti.

“Malah, di DUN Machap juga hanya dua hot spot dikenal pasti iaitu di kawasan Sungai Kuala Sungga dan Taman Kemuning.

“Punca berlaku banjir di sini yang dikesan disebabkan oleh saliran pembetung dan kita sekarang sedang menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi projek membesarkan pembetung,” katanya.

3
CAKNA dengan isu yang mengundang banjir.

BINA MASJID BAHARU

Malah, keselesaan jemaah turut diberi tumpuan apabila beberapa perancangan sudah dirangka antaranya pembinaan masjid baharu di kawasan Lesung Batu berhampiran Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah yang akan menampung kira-kira 1,500 jemaah pada pada satu-satu masa.

Selain itu, beliau juga turut memberi perhatian kepada kerja-kerja meluaskan Masjid Kampung Kemuning.

“Kita dengar kehendak penduduk yang mahukan kawasan masjid di luaskan agar lebih banyak aktiviti dan program diadakan jadi kita akan bawa usul ini agar dapat dilaksanakan demi keselesaan semua.

“Bagi pembinaan masjid baharu yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM12 juta pula, persetujuan sudah diperoleh daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan surat permohonan akan dirujuk ke Pejabat Daerah sebelum cadangan ini saya bawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) sekiranya semuanya dipermudahkan, kita jangka pada awal tahun hadapan projek pembinaan akan dimulakan,” katanya.

RUMAH MAMPU MILIK

Beliau yang juga Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, bagi keselesaan penduduk juga khususnya generasi ketiga Felda, pihaknya bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan membangunkan perumahan mampu milik berhampiran kawasan Felda Hutan Percha.

“Kita sedia maklum, generasi pertama dan kedua felda mereka ada tanah dan rumah namun untuk generasi ketiga ini sebaliknya jadi untuk memastikan mereka ini mempunyai penempatan serta tempat tinggal yang selesa kita cadangkan untuk bangunkan perumahan.

“Perancangan ia akan dirikan di atas tanah berkeluasan 16 ekar kerana kita tidak banyak tanah kosong.

“Kertas kerja oleh LPM difahamkan sudah siap dan perbincangan seterusnya akan diadakan selain sudah pasti unit mampu milik,” ujarnya.

2
MENYAMPAIKAN sumbangan kepada Orang Ali Hutan Percha.

LAMPU SOLAR TERANGI MACHAP JAYA

Hee Sem berkata, kawasan Machap juga akan menjadi DUN pertama yang akan menggunakan kira-kira 200 lampu jalan solar ia bagi memastikan keselamatan penduduk khususnya pengguna jalan raya pada waktu malam.

Katanya, antara lokasi yang akan dipasang lampu jalan solar ialah di laluan jalan baharu Tebong ke Hutan Percha, Hutan Simpan Bukit Sedanan dan Ayer Pasir serta beberapa lagi kawasan yang akan dikenal pasti.

“Malah pembukaan jalan baharu dari Tebong ke Hutan Percha juga sepanjang lima kilometer baru-baru ini juga memberi manfaat dan keselesaan kepada rakyat apabila dapat menjimatkan masa perjalanan serta jarak,” katanya.

Menurutnya, beliau kini dalam usaha mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membina dewan terbuka di atas tanah kosong bagi menempatkan peniaga yang kini beroperasi sementara di Pusat Komuniti Ayer Pasir, supaya mempunyai tapak jualan yang kekal.

“Tidak sangka, usaha penduduk yang menjalankan perniagaan di situ empat bulan lalu membuahkan hasil, apabila dulunya bermula dengan hanya tiga empat orang peniaga sahaja kini sudah mempunyai 14 peniaga.

“Kawasan itu mendapat sambutan tetapi, sepanjang empat bulan ini sudah empat kali mereka terkesan dengan ribut jadi saya cadangkan supaya tanah kosong setengah ekar berdepan dengan Pusat Komuniti ini dibangunkan dewan terbuka dan kita lakukan seperti konsep ‘food court’,” katanya.

5
HEE SEM

BIODATA

Nama: Ngwe Hee Sem
Umur: 54

Karier:-
– Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya (2021 – kini)

Pendidikan:-
– Bachelor of Business Administration in Economics, University of Tennesse

Politik:-
– Ahli Jawatankuasa MCA Pusat
– Setiausaha Organisasi MCA Perhubungan Negeri Melaka
– Naib Ketua Bahagian MCA Alor Gajah

INFO DUN Machap Jaya:

Jumlah penduduk : 40,000

Kampung : 12
Taman Perumahan : 20

Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Surau: 14
Tokong: 10
Kuil: 13

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 6
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 3
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 5

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2810
Kongsi :
Previous post Malaysia berharap dapat jalin kerjasama rapat dengan India – PM Anwar
Next post PM beri keutamaan tangani isu kos sara hidup
Ubah saiz-+=