Sorting by

×

KEDAI EMAS DISAMUN, PEMILIK RUGI RM250,000

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LINGGI 20 Mac – Pemilik kedai emas kerugian RM250,000 selepas premisnya di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah disamun seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pistol mainan, jam 2.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada mulanya pemilik premis iaitu lelaki berusia 49 tahun tidak menyedari kehadiran suspek.

Katanya, mangsa hanya menyedari kehadiran suspek selepas diacukan sepucuk pistol mengakibatkan dia berlari masuk ke dalam ruang pejabat bersama dua anaknya, masing-masing berusia 10 dan tujuh tahun untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian terdengar bunyi kaca dipecahkan sebanyak dua kali, tidak lama kemudian selepas mendapati keadaan di luar senyap dia keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Dia kemudian mendapati dua dulang mengandungi rantai emas dipamerkan sudah hilang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ashari berkata, berdasarkan siasatan lanjut, saksi awam memaklumkan melihat seorang lelaki berpakaian hitam yang berkelakuan mencurigakan masuk ke kedai emas berkenaan.

“Saksi turut memaklumkan terdengar bunyi kaca pecah dan melihat lelaki terbabit melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diparkir di hujung kedai.

“Akibat kejadian itu, mangsa mendakwa kehilangan 50 utas rantai tangan emas pelbagai berat dengan anggaran kerugian bernilai lebih kurang RM250,000,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian menemukan tiga cap jari dan sepucuk pistol plastik warna hitam yang ditinggalkan di lantai kedai.

Susulan kejadian itu beliau, meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06 – 5562222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post 16.5 JUTA PELANCONG DIJANGKA MELAWAT MELAKA SEPANJANG 2025
Next post MELAKA PERKASA LIMA TERAS BAGI KEMAJUAN PELANCONGAN NEGERI