Kecut perut 15 kilometer dihambat polis

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Lelaki dipercayai tokan dadah berjaya diberkas polis biarpun cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan sejauh 15 kilometer dalam kejadian di Taman Kenanga, Kampung Lapan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, lelaki berusia 21 tahun dipercayai pengedar dadah berjaya ditahan selepas 25 minit adegan cuba meloloskan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, terdahulu, pihak polis menerima aduan mengenai keadaan sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang ditinggalkan dalam keadaan enjin masih hidup di belakang Masjid Tengkera pada jam 3.30 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Polis Tengkera tiba di lokasi dan telah mengetuk tingkap kereta untuk memperkenalkan diri. Ketika itu didapati seorang lelaki sedang duduk di bahagian pemandu dalam keadaan pintu berkunci.

“Pemandu bagaimanapun masih tidak sedarkan diri sebelum polis bertindak menghubungi talian kecemasan untuk minta bantuan pihak bomba membuka kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kira-kira lima minit kemudian, sepasukan bomba bersama sebuah jentera tiba di lokasi dan berusaha untuk membuka pintu kereta tersebut.

Bagaimanapun, Zulkiflee berkata, secara tiba tiba suspek lelaki terbabit tersedar dan terus memecut kenderaannya dalam usaha untuk melarikan diri.

“Suspek terus memecut keretanya secara melulu dan berbahaya menuju ke Jalan Tengkera menyebabkan polis bertindak mengejarnya menaiki motosikal.

“Anggota tersebut kemudian minta bantuan dari Bilik Gerakan Polis Melaka Tengah dan semasa tiba di Limbongan, pihak polis telah mengarahkan suspek berhenti namun tidak diendahkan.

“Suspek sebaliknya terus memecut ke arah Limbongan Jaya menghala ke Kota Syahbandar dan adegan itu berterusan sehingga tiba di Rumah Pangsa Gajah Berang.

“Di situ, suspek yang sekali lagi diarahkan berhenti telah melanggar bahagian sisi kiri motosikal anggota polis menyebabkan anggota terbabit jatuh dan mengalami luka,” katanya.

Tambahnya, situasi mengejar itu membabitkan 10 anggota termasuk polis trafik menaiki tujuh motosikal, sebuah kereta peronda polis dan kenderaan polis pelancong.

Dalam keadaan cemas itu, Zulkiflee berkata, pihak polis terus mengekori suspek sehingga tiba di lampu isyarat berdekatan Kampung Lapan sebelum kenderaan dipandunya telah merempuh dua buah kereta di tepi jalan.

“Selepas kira-kira 25 minit aksi mengejar sejauh 15 kilometer, kereta suspek akhirnya terperangkap di hadapan sebuah kedai makan di Taman Kenanga.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri berhampiran kedai makan sekitar namun kepantasan pihak polis berjaya memberkasnya,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menjumpai jumpa satu beg berisi lima paket plastik lutsinar berisi bahan dipercayai dadah jenis syabu seberat 52.86 gram serta satu alat penimbang digital dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis syabu.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Mac,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1682
Kongsi :
Previous post MUFC kekalkan rekod tanpa kalah
Next post Berani sungguh judi di tempat awam!
Ubah saiz-+=