‘Kecik’ gegar Merlimau, raih tali pinggang Dr Muhamad Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MERLIMAU 30 Mei – Empat petarung muaythai Melaka mempamer aksi cemerlang apabila meraih kejuaraan pada Kejohanan Muaythai Profesional Terbuka Merlimau di sini, kelmarin.

Paling mencuri tumpuan pada kejohanan itu adalah Kategori 50 kilogram (kg) yang dimenangi atlet SUKMA negeri, Muhammad Zulfakar Othman atau Kecik yang berjaya menewaskan Azim KL7 dari Kelab Muaythai KL7 secara ‘knockout (KO)’.

Perlawanan antara Kecik dan Azim diletakkan pada Bout 7 iaitu acara pilihan bagi merebut Tali Pinggang EXCO Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Merlimau.

Atlet muaythai Melaka yang turut meraih kejuaraan ialah Jebat Raja Keli mewakili Penjara Sungai Udang bagi kategori 53kg, menewaskan Khutbah Iskandar dari Kelab Tomoi GSC Taiping Perak secara ‘total knockout’.

Epul SHG yang mewakili Muaythai Melaka turut meraih kejuaraan bagi kategori 54kg selepas mengalahkan pencabarnya dari Fitness Fightlap KL, Bakri Red Stone.

Turut mengesahkan penguasaan Melaka pada kejohanan itu ialah atlet GPY Muaythai Melaka, Nafizi yang menjuarai kategori 70kg, menewaskan Mohd Badrul dari Kelab Muaythai Kuda Merah PJ Selangor menerusi ‘total knockout (TKO)’.

Sebanyak lapan kategori perlawanan dipertandingkan untuk acara profesional dalam kejohanan tersebut dengan empat daripadanya dikuasai atlet muaythai tuan rumah.

Bagi kategori 48kg, atley Kelab Bangrajan Muaythai Kedah, Damwaan diumumkan pemenang pertama kejohanan menewaskan Zakwan Zaki dari Muaythai Melaka.

Kategori 60kg pula dimenangi Rosid Lion mewakili Kelab Muaythai Lion Johor, menewaskan Kelab Muaythai Bara Emas, Arysh Shaddad.

Manakala, kategori 63kg dan 65kg masing-masing dimenangi Husin Bolt dari Kemtec Kedah dan Kumaran dari Akuma Red Wolves Muaythai Selangor.

Kejohanan yang disertai seramai 108 atlet muaythai dari seluruh negara itu dimeriahkan dengan kehadiran 500 penonton yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan perlawanan sengit petarung muaythai beradu tenaga.

ANTARA aksi peserta cilik bagi kategori amatur yang tidak ketinggalan mempamerkan bakat muaythai pada Kejohanan Muaythai Amatur dan Profesional Terbuka Merlimau.

Selain kategori profesional, kejohanan selama sehari itu turut mempertandingkan acara amatur membabitkan kategori dewasa (18 hingga 40 tahun) dan kategori pelajar sekolah berusia 7 hingga 17 tahun.

Difahamkan pihak penganjur menerima lebih 200 penyertaan untuk kejohanan tersebut, namun terpaksa mengehadkan kepada 108 atlet disebabkan kekangan masa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1514
Kongsi :
Previous post Wanita warga emas mangsa Love Scam rugi RM565,700
Next post Tiada pertukaran kepimpinan UMNO di Melaka – Ab Rauf
Ubah saiz-+=