Sorting by

×

KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK MELAKA, KEUTAMAAN KERAJAAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Disember – Kerajaan Melaka akan terus menyokong dan memberi keutamaan terhadap kemajuan sektor pendidikan demi kelangsungan dan ketamadunan bangsa, negeri serta negara pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara inisiatif dilaksanakan untuk mencapai hasrat itu adalah dengan menyampaikan peruntukan berjumlah RM45,000 kepada 12 sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah.

Katanya, sumbangan itu adalah simbolik keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keselesaan anak-anak terutama mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijadualkan Januari nanti.

“Besar harapan saya, dengan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu anak-anak menjawab soalan dengan lebih tenang dan selesa, sekali gus mencapai keputusan cemerlang yang lebih membanggakan.

“Kali ini kita juga menyerahkan sumbangan secara kepada kepada 53 orang penerima bantuan ‘One Off Care IPT’ menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM). Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada para penerima kerana berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih SPM Dan Penyerahan ‘MOCK CHEQUE’ Sekolah-Sekolah Parlimen Masjid Tanah Bersama YAB Ketua Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, Kampung Ayer Hitam, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang juga Menteri Melaka Ke-12; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin, Pengetua SMK Ade Putra, Zaliza Md Zali dan pengetua sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah.

Ab Rauf berkata, sumbangan itu juga adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membantu anak-anak Melaka dan memastikan mereka bergelar pelajar mendapat sokongan dan perhatian sepenuhnya dalam akademik.

“Teruskan bertekad dan beriltizam bahawa anak-anak boleh mencapai kejayaan yang membanggakan seiring dengan usaha yang telah dicurahkan.

“Ambil semangat Bijak Laksana Tuah dan Berani Laksana Jebat dalam menggarap segenap dimensi peluang untuk memajukan diri sendiri sehingga berjaya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post MELAKA LAKSANA PEMUTIHAN NELAYAN, BATAL LESEN ‘ALI BABA’
Next post 442 NELAYAN ALOR GAJAH, PORT DICKSON TERIMA SAGU HATI
Ubah saiz-+=