
KEBOLEHPASARAN PELAJAR PENDIDIKAN KHAS MELAKA LEPASI KPI KEBANGSAAN
BANDARAYA MELAKA 24 April – Kebolehpasaran pelajar sekolah Pendidikan Khas Negeri Melaka tahun lalu membanggakan apabila berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) peringkat kebangsaan.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin berkata, berdasarkan data yang direkodkan, kebolehpasaran pelajar pendidikan khas di negeri ini pada tahun lalu adalah 78.81 peratus, berbanding 73 peratus di peringkat kebangsaan.
Menurut beliau, pada tahun ini pula sasaran yang ditetapkan adalah pada kadar 75 peratus.
“Di peringkat Negeri Melaka, kita telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi memastikan anak-anak istimewa ini apabila sudah tamat persekolahan mempunyai masa depan di alam pekerjaan.
“Menerusi Karnival Bakat dan Kebolehpasaran Murid Berkerperluan Pendidikan Khas Negeri Melaka yang dianjurkan saban tahun ini kita mahu bakat, kemahiran dan kreativiti mereka dipamerkan.
“Karnival ini juga dijadikan platform penting untuk membuka peluang kepada mereka menerokai bidang keusahawanan, vokasional dan kebolehpasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Bakat dan Kebolehpasaran Murid Berkerperluan Pendidikan Khas Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Karim berkata, peranan guru Pendidikan Khas yang begitu berdedikasi dan sabar dalam membimbing pelajar istimewa ini wajar diangkat dan diberi pengiktirafan.
Jelasnya, tanpa bimbingan guru-guru yang seperti ibu bapa kepada anak-anak istimewa ini mungkin bakat anak-anak ini tidak dapat diketengahkan.
“Saya harap semua pihak dapat memberi sokongan untuk usaha memperkasa pendidikan khas, membuka ruang, peluang latihan dan pekerjaan untuk terus cemerlang dalam kehidupan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.