Sorting by

×

Kebocoran gas ammonia: Seorang pekerja dikejarkan ke hospital

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Nov. – Gas ammonia dikesan bocor di sebuah kilang pemprosesan ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Pengkalan Balak di sini malam tadi dan menyebabkan seorang pekerja wanita dikejarkan ke hospital.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam, pekerja berusia 53 tahun itu mengalami pening dan mual selepas dipercayai terhidu gas berkenaan ketika bekerja.

Anaknya, Hafifi Maarif, 22, berkata, beliau menerima panggilan daripada sepupunya yang bekerja di kilang itu pada jam 8.20 malam yang memaklumkan ibunya mengalami pening dan mual selepas semua pekerja kilang berkenaan keluar dari kilang setelah terhidu gas ammonia.

“Ketika saya tiba di kilang, keadaan kelam kabut dengan kebanyakan pekerja berkumpul di luar kilang dan saya dapati ibu dalam keadaan pening dan mual.

“Saya segera membawa ibu ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Melaka dan keadaannya setakat tengah malam tadi, alhamdulillah tetapi masih ada pening,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah menerima panggilan pada jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

“Seramai 12 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan 10 anggota bomba dari Masjid Tanah dan Alor Gajah mendapati berlakunya pencemaran gas ammonia.

“Bagaimanapun kebocoran itu sudah ditutup pihak pengurusan kilang dan operasi pasukan bomba berjaya mengawal keadaan pada jam 9.25 malam sebelum ditamatkan pada jam 5.31 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, Komander HAZMAT melaporkan bacaan ‘Backgroup 52 KPS Ammonia’ dan selepas memastikan lokasi kejadian bebas daripada bau gas serta tiada risiko berbahaya, pasukan bomba meninggalkan lokasi pada jam 5.58 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud berkata, beliau difahamkan kebocoran berkenaan dipercayai berpunca daripada kerja penyelenggaraan dilakukan beberapa juruteknik.

Katanya, ketika membuat kerja berkenaan, dipercayai gas berkenaan bocor dan menyebabkan semua pekerja kilang diarahkan keluar kilang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan serius pekerja terbabit.

“Alhamdulillah, walaupun ada berlaku kebocoran gas tiada kemalangan jiwa atau kecederaan parah dan saya berharap pihak pengurusan kilang mengambil perhatian serius kejadian itu,” katanya di lokasi kejadian.

Views:

1350
Kongsi :
Previous post Penggunaan vaksin influenza SKYCellflu Quadrivalent, Vaxigrip Tetra dibenarkan semula
Next post RM24.3 juta kerugian akibat jenayah komersial
Ubah saiz-+=