Sorting by

×

Kebersihan, perkasa pelancongan misi utama MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 9 Februari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) komited akan memastikan tahap kebersihan dan kawasan tarikan pelancongan di bawah pentadbirannya di tambah baik dalam menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata,pelbagai pendekatan akan dilaksanakan di kawasan-kawasan tumpuan terutama di Banda Hilir bagi mengekalkan mutu pencapaian kebersihan dalam anugerah yang diterima sebelum ini.

“Kita akan menambah baik sistem kebersihan dan juga perkhidmatan di bawah kawasan MBMB seperti mana yang di sarankan Ketua Menteri.

“Setakat ini kita sedang pergiatkan beberapa elemen untuk menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke kawasan-kawasan bersejarah di Banda Hilir sempena TMM2024.

“Pelbagai langkah telah dilaksanakan terutama kerja-kerja pembersihan giat dilaksanakan dan kita juga sedang menaik taraf pencayahaan yang ada di kawasan pelancongan ini agar lebih ceria dan mampu menarik kedatangan pelancong.

“Malah bagi merancakkan kawasan tumpuan pelancongan itu pelbagai penganjuran program-program menarik dirangka sekali gus merancakkan TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir PBT Negeri Melaka tahun 2024 hingga 2025 diadakan di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Program diadakan itu telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Barisan Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Pada majlis itu, Shadan mendahului senarai sesi Majlis Angkat Sumpah dan menandatangani Borang Pengakuan Menerima Jawatan sebagai Datuk Bandar MBMB.

Ia diikuti dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abd Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron.

Pada program itu juga seramai 107 Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir melibatkan kesemua PBT turut menjalankan sesi angkat sumpah disaksikan Ab Rauf dan tetamu terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Jawatan Yang Dipertua MPJ sedang tunggu kelulusan JPA
Next post Ajal rempuh belakang kereta peronda lebuh raya
Ubah saiz-+=