Sorting by

×

Kebakaran Wisma Jakel: Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SHAH ALAM, 3 Jan – Polis hanya akan mengambil alih siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini sekiranya didapati terdapat unsur khianat dikesan, berdasarkan hasil laporan bomba.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata setakat ini polis belum menerima apa-apa laporan daripada pemilik Wisma Jakel atau mana-mana pihak lain, berkaitan punca kebakaran bangunan itu.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai, terutama pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi atau tuduhan berhubung punca kebakaran itu.

“Kita hentilah (buat spekulasi) yang cuba menimbulkan kemarahan pekerja yang hilang pekerjaan. Kejadian ini kita tidak minta berlaku, jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian di Wisma Jakel, hari ini.

Katanya enam orang anggota polis termasuk dari cawangan trafik di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) bersama petugas bomba ditempatkan di sekitar tempat kejadian bagi mengawasi keselamatan lokasi kebakaran.

Mohd Iqbal turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan atau berhenti di bahu jalan untuk melihat kerja-kerja pemunggahan barangan tekstil yang terselamat, atau sengaja meninjau tempat kejadian, kerana ia akan mengganggu lalu lintas.

“Saya nasihatkan (orang ramai) supaya tidak berhenti bagi mengambil gambar, atau apa sahaja tujuan supaya lalu lintas di kawasan ini dapat berjalan lancar, dan proses pemunggahan dapat dilaksanakan,” katanya.

Selepas bangunan lot kedai yang cukup terkenal di Shah Alam itu mengalami kemusnahan lebih 80 peratus akibat kebakaran pada awal 1 Jan lepas, Wisma Jakel sekali lagi dilaporkan terbakar tengah malam tadi apabila bilik simpanan kain langsirnya di tingkat atas bangunan itu dijilat api lewat tengah malam tadi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2286
Kongsi :
Previous post 40 peserta berkayak merentasi pulau di Melaka
Next post Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada pertuduhan cabul wanita
Ubah saiz-+=