Kebakaran Flat Sri Johor : Wang simpanan RM40,000 hangus dijilat api – mangsa
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Simpanan bertahun-tahun seorang mangsa kebakaran Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak, di sini, hilang begitu sahaja apabila wang tunai RM40,000 miliknya hangus dijilat api.
Mangsa, T. Mary, 37, berkata selain kesal kerana menyimpan wang tunai yang banyak di rumah, dia juga terkilan gara-gara gagal menyelamatkan beberapa barangan kemas yang dikumpul sejak sekian lama.
“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja berhampiran hospital berdekatan dan menerima panggilan daripada kakak mengenai kebakaran ini.
“Tujuh orang tinggal di dalam rumah itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun apabila semua ini terjadi, penyesalan terus menghantui diri kerana menyimpan wang tunai sebanyak itu di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi, lapan unit rumah di tingkat empat, Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan lalu merebak di keseluruhan tingkat.
Seorang lagi mangsa kebakaran, R.Vincent yang berusia lingkungan 30-an berkata beliau menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada kakaknya dan tidak sempat pulang ke rumah.
“Ketika itu, saya berada di Taman Maluri, di sini bersama isteri dan dua anak untuk makan malam dan tiba-tiba kakak menelefon saya memaklumkan rumah sedang terbakar.
“Saya terkejut terus bergegas pulang dan apabila sampai di rumah, kakak saya sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan mangga pintu menggunakan pisau kerana kunci ada pada saya,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.