Kebakaran: 900 hilang tempat tinggal di Semporna
SEMPORNA, 21 April – Dianggarkan kira-kira 900 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran melibatkan kira-kira 100 pintu rumah kongsi di Penempatan Sementara Kampung Bangau-Bangau di sini dalam kejadian bermula pukul 11.35 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 dan menggerakkan 12 anggota bersama pegawai dengan dua jentera termasuk EMRS ke lokasi kejadian.
“Operasi turut dibantu sepasukan lima anggota dari BBP Air Semporna, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati 10 blok rumah kongsi menempatkan lebih 900 penduduk telah musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman bagi mengelak api merebak ke kawasan penempatan lain sebelum berjaya dikawal pada 12.46 tengah malam.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat dan operasi ditamatkan pukul 3.05 pagi tadi. Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran tersebut,” katanya.
Kawasan itu merupakan penempatan sementara yang dibina kerajaan untuk mangsa kebakaran rumah atas air Kampung Bangau-bangau yang berlaku pada 2017. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.