Sorting by

×

KEBAJIKAN WARGA EMAS, ANAK ISTIMEWA MELAKA JADI TUMPUAN 2025

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BATU 26 Oktober – Bajet 2025 Negeri Melaka yang akan dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak lama lagi diharap dapat memberi tumpuan kepada aspek kebajikan kepada golongan sasar.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, selain golongan asnaf, fokus juga perlu diberikan kepada dua golongan iaitu warga emas dan anak-anak istimewa yang kini semakin meningkat di Melaka.

Beliau melihat perlunya penambahbaikan dari segi fasiliti pusat jagaan warga emas dan pusat pendidikan anak-anak istimewa yang wajar diberi perhatian sepenuhnya.

“Saban tahun saya bersama rakan-rakan agensi di bawah portfolio menaruh harapan tinggi akan ada berita baik daripada setiap pengumuman peruntukan dari belanjawan negara mahupun negeri.

“Saya mengharapkan kali ini kebajikan anak-anak istimewa seperti autisme dan warga emas diberi perhatian lebih-lebih lagi negara akan menghadapi tahun menua yang tidak dapat dielakkan.

“Jadi kita harus bersedia dari segi fasiliti pusat jagaan warga emas, kerana dikhuatiri akan ada keluarga yang tidak mahu menjaga ahli keluarga bertaraf warga emas kelak, jadi kita perlu menghadapi segala kemungkinan dalam memastikan kebajikan warga emas ini terbela dan kita tidak mahu melihat golongan ini terabai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Post Exco Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Komuniti Bil 5/2024 di Bilik Mesyuarat Rumah Kasih Tun Abdul Aziz, di sini, semalam.

Menurut Kalsom, beliau juga berharap bajet yang akan dibentangkan nanti turut memberi tempias kepada kaum hawa di negeri ini, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

Beliau turut menerima cadangan untuk menubuhkan Pusat Hab Usahawan Wanita Negeri Melaka, di mana ia merupakan satu usaha yang baik dalam membantu usahawan wanita negeri ini untuk lebih berdaya saing terutamanya dalam perniagaan digital.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

953
Kongsi :
Previous post MARI BERSAMA REALISASIKAN PEMBINAAN MASJID PULAU BESAR
Next post SERLAH BAKAT, POTENSI MURID TADIKA JAIM
Ubah saiz-+=