KEBAJIKAN, KESEJAHTERAAN RAKYAT JADI KEUTAMAAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MASJID TANAH 20 Oktober – Aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, beliau komited memastikan seluruh rakyat di negeri ini menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif dan insentif disediakan Kerajaan Negeri.

Jelasnya, ia termasuklah kepada masyarakat India yang banyak menyumbang kepada kelestarian pembangunan Negeri Melaka.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memperkasa sosioekonomi mereka yang banyak menyumbang dan berbakti kepada pembangunan negeri Melaka, termasuklah kepada masyarakat India di Masjid Tanah.

“Justeru, sempena pesta cahaya tahun ini kita menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima berupa kit makanan.

“Dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Deepavali Peringkat Masjid Tanah anjuran MIC Bahagian Masjid Tanah, Pertubuhan Kebajikan India TLSA dan Malaysian Indian Youth Council (MIYC) Cawangan Masjid Tanah di perkarangan Masjid Tanah Sentral, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Pengerusi MIC Negeri Melaka, Datuk V.P Shanmugam serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri; Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengajak seluruh rakyat Melaka bersama menghormati kepelbagaian kaum dan menghargai nikmat keamanan, kebebasan serta keselamatan yang ada di negara ini.

“Semoga sambutan festival cahaya ini akan menerangi kehidupan semua rakyat Malaysia khususnya warga Masjid Tanah untuk kekal aman dan harmoni,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post IKAN LUMBA-LUMBA ‘PERMATA’ PANTAI SIRING
Ubah saiz-+=