Kebajikan, keperluan rakyat keutamaan Ab Rauf
TANJUNG BIDARA 25 Mac – Kerajaan Negeri optimis dalam memastikan setiap keperluan dan kebajikan rakyat Melaka terpelihara kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, saban tahun, Kerajaan Negeri Melaka tidak pernah ketinggalan dalam menyampaikan sumbangan kepada rakyat terutama setiap kali menjelangnya musim perayaan.
Katanya, pada tahun ini Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM348,000 yang akan memberi manfaat kepada seramai 1,740 orang penerima bantuan dalam kalangan B40 di seluruh Melaka.
“Pada program kali ini sebanyak RM62,000 diperuntukan kepada 310 orang penerima dalam Parlimen Masjid Tanah. Sumbangan adalah dalam bentuk tunai RM200 dan kit makanan bagi setiap penerima.
“Penyampaian sumbangan pada kali ini merupakan salah satu program kebajikan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib rakyat tanpa mengambil kira latar belakang kaum, agama, tempat tinggal dan fahaman politik. Saya tidak mahu ada seorang pun rakyat yang terpinggir daripada mendapat bantuan kebajikan yang sesuai dengan keperluan mereka,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri (Parlimen Masjid Tanah) Tahun 2024 di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen.
Ketika berucap Ketua Menteri turut mengingatkan orang ramai khususnya umat Islam agar sentiasa berhati-hati ketika dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Berbaki dua minggu lagi, kita bakal menyambut 1 Syawal yang dinanti-nanti, saya percaya ramai yang akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman bertemu insan-insan tersayang.
“Pesanan saya, patuhilah undang-undang jalan raya, memandulah secara berhemah. Kalau mengantuk, berhentilah berehat sebentar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.