Sorting by

×

KEBAJIKAN GURU JAIM SENTIASA JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDARAYA MELAKA 11 Februari – Aspek kebajikan guru-guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa dijaga dan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri agar warga pendidik ini kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendidikan menjadi agenda utama dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan bersahsiah tinggi.

“Justeru Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelarasan elaun untuk guru-guru KAFA dan Tadika JAIM di negeri ini demi menjaga kebajikan mereka.

“Sementara itu tahun ini juga guru wanita menikmati kemudahan cuti bersalin, dengan syarat-syarat yang akan diperhalusi oleh JAIM,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika JAIM Kali Ke-27 bagi Sesi Akademik Tahun 2024/2025 di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Adawiyah Lias.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju membiayai sebahagian daripada yuran pendaftaran di Tadika JAIM.

“Pembiayaan ini menerusi Insentif Pelajar Tadika JAIM dengan jumlah sebanyak RM100 bagi setiap murid, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 3,600 murid,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post 384 ASNAF DUN PENGKALAN BATU TERIMA SUMBANGAN PERSEDIAAN RAMADAN
Next post TADIKA JAIM PILIHAN IBU BAPA, LAHIRKAN MUSLIM BERKUALITI