Keahlian UMNO Idris, Nor Azman tergugur – Ab Rauf
MASJID TANAH 4 Okt. – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang mengumumkan secara terbuka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri hari ini secara automatik gugur daripada keahlian parti.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia kerana tindakan mereka yang secara terbuka menyertai pembangkang.
“Bila telah dinyatakan di dalam sidang media secara terbuka mereka bersama-sama dalam parti yang tidak bersama-sama membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka ia secara automatik akan tergugugur sebagai ahli UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Villa D’Acqua, Kampung Pulau di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, barisan Exco dan ADUN Perikatan Nasional (PN).
Suhu politik Melaka hari ini panas apabila empat ADUN Melaka mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Mereka adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron (BN), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Pengumuman itu diketuai Idris bersama mereka dalam satu sidang media tergempar di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah jam 1.15 tengah hari tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.