Keahlian PPPM meningkat, pencapaian positif
AYER KEROH 26 Jun – Peningkatan jumlah ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) tahun demi tahun menunjukkan penanda aras kewujudan persatuan itu dalam kalangan wanita.
Berikutan itu, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datin Seri Muhaini Zainal Abidin melahirkan rasa gembira dan bangga persatuan itu mencapai tahap yang lebih baik.
Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kali kedua menghadiri program itu berkata, hal ini menjadikan penanda aras kewujudan PPPM yang bersandarkan realiti.
“Hakikatnya usaha ini bukan sesuatu yang mudah tetapi melalui perancangan yang teliti lagi tersusun, ternyata jumlah keahlian PPPM berdasarkan pertambahan peningkatan ahli berlaku dari setahun ke setahun.
“Selaku Yang Dipertua, saya akan berusaha sedaya upaya menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaiknya selain berharap kita semua dapat berganding bahu menaikkan nama serta imej PPPM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapnnya pada Majlis Persidangan Pandu Puteri Dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-57 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.
Berkenan hadir ke majlis Penaung Diraja PPPM,Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat, Timbalan Yang Dipertua PPPM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Penaung PPPM Cawangan Melaka Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman dan isteri kepada Ketua Menteri Melaka Datin Seri Utama Munira M Yusop.
Menurut beliau, dengan tema Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama, Our World, Our Equal Future, PPPM harus wajib bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara serta memulihara dunia yang kita huni ini.
“Dalam konteks ini saya menyatakan bahawa semua gadis, remaja perempuan dan wanita muda serta sesiapa yang bergelar pandu puteri hendaklah diberikan hak serta kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat untuk membawa perubahan kepada dunia.
“Bukan itu sahaja pemikiran dan suara wanita bagi merancang masa hadapan ke arah kesejahteraan bumi wajar disokong,” katanya.
Terdahulu, persidangan kali ini disertai 500 perwakilan dari 18 cawangan selain sebanyak 14 anugerah turut dikurniakan kepada 142 penerima anugerah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.