Keabsahan surat bubar DUN tidak perlu dipertikai – Mohamad Ali

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 7 Okt – Surat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak perlu dipertikaikan keabsahannya berikutan ia dihantar sebelum sidang media penarikan sokongan dibuat, tegas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Beliau berkata, surat pembubaran DUN sebenarnya dihantar sehari sebelum pengumuman empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Pembubaran itu berlaku pada hari sebelum pengumuman mereka, jadi apa yang diumumkan Yang Berhormat Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh adalah bertepatan dengan Perlembagaan Negeri.

“Jadi, saya lihat tidak ada cacat dan ia menurut urutan masa yang telah ditentukan yang mana Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini lewat malam tadi.

Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, tindakan Yang di-Pertua Negeri membubarkan mengikut lunas perundangan yang ada.

“Tun (Mohd Ali) ada penasihat undang-undang, malah beliau juga seorang yang bijaksana dalam menentukan keadilan kepada semua rakyat di negeri ini,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dalam sidang media mempersoalkan keabsahan kerajaan sementara dan mahu mencabar perkara itu melalui saluran mahkamah.

Mohamad Ali berkata, pemimpin parti sanggup mengatakan perkara tidak berasas sehingga mengelirukan rakyat apabila impian mereka tidak dipenuhi.

“Apabila orang ini hendakkan harapan (dan) cita-cita mereka dipenuhi itu sebab dia sanggup mengatakan benda-benda yang bukan-bukan supaya kita keliru dan akhirnya mungkin ada berlaku rasa ketidaksenangan di kalangan rakyat negeri Melaka.

“Daripada dulu, dia kata dia cukup bilangan (sokongan), cukup ini dan akhirnya tidak ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Kongsi :
Previous post PH Melaka tiada rancangan menghadap Agong – Adly
Next post Mohamad Ali cabar Idris bertanding di kerusi yang sama
Ubah saiz-+=