‘KE TANAH JUA KITA KEMBALI’
AYER KEROH 3 Januari – Tidak perlu menjadi seorang yang berharta untuk melakukan kebaikan misalnya berwakaf kerana kematian juga tidak mengenal usia.
Itu prinsip Shahnor Samsudin, 48, yang menjual tanah pusaka milik keluarganya seluas 0.42 hektar di lot 1775, Kampung Ayer Barok, Mukim Jasin pada harga serendah RM150,000 bagi tujuan wakaf.
Katanya, tanah itu adalah tujuan wakaf am dan manfaat Masjid Ayer Barok mengguna dana Saham Wakaf Masjid Ayer Barok.
“Ia merupakan kawasan tanah perkuburan Islam Kariah Ayer Barok yang awalnya diwasiatkan oleh Allahyarham datuk kepada bapa kemudiannya diserahkan kepada saya.
“Saya sudah lama berhasrat untuk membantu memudahkan urusan wakaf ini sejak tiga tahun lalu. Alhamdulillah hasil perbincangan dan pertolongan daripada Bahagian Wakaf Dan Mal MAIM, ia tercapai.
“Niat ini bukanlah nak menunjukkan kemewahan sebaliknya ini adalah salah satu saham akhirat untuk kita semua yang pastinya akan pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Shahnor yang juga seorang penjawat awam berkata, dia berhasrat mahu lebih ramai masyarakat sedar akan kelebihan berwakaf kerana pahalanya diibaratkan seperti air sungai yang sentiasa mengalir.
“Kalau fikir untung, memang sebaiknya jual sahaja ikut harga pasaran yang jauh lebih tinggi, tetapi saya juga tergerak hati memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.