KDNKA selaras bantuan penduduk terputus hubungan di Segamat – Acryl Sani

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan menyelaras segala bentuk bantuan bagi penduduk terputus hubungan akibat bencana banjir di Segamat, Johor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata arahan penyelarasan bantuan terbabit adalah meliputi jalan udara serta air bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir kekal terpelihara.

“Saya telah mengarahkan Pengarah KDNKA Datuk Hazani Ghazali untuk menyelaras bantuan terbabit antaranya sebuah helikopter milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) diguna untuk menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air.

“Terdapat 3,961 mangsa banjir daripada 1,047 keluarga telah ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara di daerah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata seramai 337 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa dan kerajaan ditugaskan dalam operasi banjir untuk menyelaras bantuan bencana.

Beliau berkata pihaknya bersama rakan-rakan agensi keselamatan lain sedang mengambil tindakan segera di daerah itu dan lain-lain lokasi banjir dalam kontinjen Johor bagi tujuan pemindahan mangsa banjir ke tempat yang ditetapkan.

“Elemen KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, PGU, Pasukan Simpanan Persekutuan dalam pada itu akan digerakkan untuk menjalankan proses pembersihan infrastruktur awam dan rumah-rumah ibadat bagi operasi pascabanjir,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Paras sungai bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada
Next post Banjir: SWCorp tumpu pembersihan 12 kawasan di Melaka
Ubah saiz-+=