KDN Komited pastikan kekuatan PDRM dipertingkat dari semasa ke semasa

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 3 Mei. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited dalam memastikan kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertingkat dari semasa ke semasa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata selain itu, KDN juga akan terus memberikan kerjasama khususnya dalam menjaga kebajikan anggota serta pegawai PDRM selain memastikan peranan serta fungsi pasukan itu kekal relevan.

“Sesuai dengan pelantikan diterajui Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara, kerajaan percaya nama baik PDRM dapat dipertingkatkan ke peringkat lebih tinggi selain berhasil menentukan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara terpelihara,” katanya.

Hamzah berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibacakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini.

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyerahkan tugas dan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara kepada timbalan beliau Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Pelantikan Acryl Sani berkuat kuasa esok.

Hamzah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Abdul Hamid atas sumbangan serta khidmat bakti dicurahkan kepada masyarakat dan negara sepanjang berkhidmat dalam PDRM dan menerajui pasukan Sang Saka Biru itu.

“Demi kepentingan warga PDRM seluruhnya, saya percaya legasi pemimpin terdahulu dapat diteruskan di samping memberi suntikan nafas baharu agar pasukan ini kekal ampuh sebagai pasukan disegani dan dihormati,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika berucap selepas penyerahan tugas itu menyeru semua warga PDRM agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan intergriti dan yakin Acryl Sani mampu memacu PDRM dengan lebih cemerlang.

“Insya-Allah dengan pengalaman dan ilmu beliau (Acryl Sani) peroleh sepanjang berkhidmat dalam pasukan, mampu memikul amanah ini dengan cemerlang sekali gus memacu PDRM mengharungi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.

Abdul Hamid berkata menyedari akan hakikat cabaran jenayah masa kini berada dalam dimensi yang kompleks, beliau berharap PDRM terus mendapat perhatian kerajaan khususnya daripada sudut keperluan aset-aset baharu selain diberi pertimbangan untuk penambahan kekuatan sumber manusia.

“Walapun saya bakal kembali ke dunia persaraan, perjuangan bersama PDRM akan diteruskan dengan cara saya sendiri.

“Selagi nyawa dikandung badan, darah perjuangan Sang Saka Biru yang telah sebati dalam diri akan terus mengalir dalam tubuh hingga terhentinya nafas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post 160 penjawat 10 Briged Para meriahkan Ihya Ramadan
Next post UiTM hantar pulang pelajar sempena Aidilfitri mulai Jumaat
Ubah saiz-+=