KBS nampak potensi sepak takraw Melaka
BANDARAYA MELAKA 16 Februari – Usaha Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) yang mahu mengangkat martabat sukan sepak takraw di negara ini mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, melihat kepada pelbagai perancangan dan program pembangunan yang mahu di bawa PASTAM, KBS sedia menghulurkan bantuan dan sokongan bagi merealisasikan agenda tersebut.
Menurut beliau, terdapat dua elemen yang boleh diberi perhatian oleh PASTAM iaitu pertama membabitkan pembangunan akar umbi dan program latihan, manakala elemen kedua merangkumi penganjuran acara sama ada secara terbuka atau berkala.
“Apa yang saya nampak antara sumbangan dan dukungan yang boleh diberikan KBS ialah menerusi inisiatif oleh kerajaan antaranya Dana Sukan Komuniti yang mana ia bertujuan merancakkan aktiviti sukan sama ada rekreasi atau kompetitif di peringkat komuniti.
“Selain itu, kita juga ada Geran Padanan Sukan yang berupaya menyokong penganjuran kejohanan besar yang dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat sukan bersaing di peringkat negeri dan seterusnya negara, malah hingga ke peringkat antarabangsa.
“Jadi, inilah antara perancangan yang boleh digerakkan PASTAM. Apapun, saya memuji usaha PASTAM yang mengambil inisiatif merapatkan jaringan mereka dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka dalam usaha mengangkat sukan sepak takraw di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama ahli jawatankuasa PASTAM di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua PASTAM Datuk Akramuddin Abd Aziz; Pengarah JBS Negeri Melaka Khairul Adri Rosli; Pengarah MSN Melaka Mohd Asri Ninggal dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sektor Pembangunan Murid Jamsari Mariman.
Pada perjumpaan itu, Adam Adli turut mengumumkan sumbangan peribadinya berjumlah RM10,000 bagi membantu PASTAM menjayakan apa jua program yang dirancang.
Sementara itu, Akramuddin berkata, pihaknya berterima kasih di atas sokongan KBS dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang prihatin terhadap agenda pembangunan sukan sepak takraw yang direncana PASTAM.
Katanya, bantuan dan sokongan KBS amat diperlukan dalam usaha untuk menjadikan sepak takraw bukan lagi sebagai sukan tradisi, bahkan diangkat ke arah profesional.
“Saya percaya keterlibatan banyak pihak akan membuahkan sesuatu hasil yang lebih baik untuk sukan sepak takraw Negeri Melaka. Insya-Allah segala yang kami hajat dan hasratkan akan dilaksanakan dengan izin Allah SWT,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.