Sorting by

×

KBS hantar senarai 4,000 nama atlet, pegawai terima vaksin awal

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SHAH ALAM 21 Feb. – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menghantar senarai nama 4,000 atlet dan pegawai untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata senarai itu telah dihantar sendiri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Saya ada hantar senarai keutamaan kepada Khairy tapi dia kena melihat melalui ‘roll out’ dan peringkat awal ini akan diberikan kepada atlet dan pegawai yang mewakili negara dalam sukan di pentas dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA dan Sukan Asia,” katanya selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kemudahan sukan di Stadium Panasonic di sini semalam.

Reezal Merican mengulas pertanyaan pemberita sama ada negara akan mengutamakan atlet Olimpik sebagai antara penerima awal vaksin COVID-19 menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula 26 Februari ini.

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata penyokong bola sepak akan dibenarkan memasuki stadium bagi menonton perlawanan sukan itu hanya apabila situasi pandemik COVID-19 sudah beransur pulih dan terkawal.

“Kalau keadaan (COVID-19) sudah reda, saya akan kemukakan permohonan agar membenarkan penonton masuk mengikut SOP tertentu, mungkin ada cadangan ujian saringan dilaksanakan, (jika negatif) penonton akan dibenarkan masuk,” katanya.

Sementara itu, berhubung pematuhan SOP sektor sukan dan rekreasi, Reezal Merican berkata seramai 3,000 anak muda telah berdaftar dengan gerakan kesukarelawanan ‘Rakan Muda Sports Bubble Volunteer’ (RMSBV) setakat ini.

RMSBV akan memainkan peranan sebagai rakan advokasi dan diplomasi sukan, khususnya untuk membantu usaha pematuhan penganjur, peserta dan penonton atau orang awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post Nakhoda Light in the Malay World
Next post Selamat Menjawab Buat Calon SPM : Pastikan Kecemerlangan Milik Anda
Ubah saiz-+=