KAYUHAN SANTAI CARI ‘NIKMAT’ SUASANA KAMPUNG
AYER KEROH 28 Ogos – Selain melepaskan ‘gian’ berkayuh laluan menawarkan suasana kampung menjadi faktor penarik buat Muhammad Muzzammil Moktar, 40, dan anak perempuannya menyertai Menara Taming Sari Fun Ride 3.0 pada 14 September nanti.
Muhammad Muzzammil berkata, meskipun tinggal di Ujong Pasir, kesibukan kerja kerap membantutkan perancangannya untuk berkayuh sambil menikmati suasana kampung sekitar Melaka yang kaya dengan pelbagai adat, seni dan budaya.
Katanya, pada 14 September nanti dia dan anaknya mengambil bahagian dalam kayuhan sejauh 10 kilometer (km) yang dianggap memadai bagi menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.
“Selepas sibuk bekerja ini adalah peluang saya habiskan masa bersama anak, memang kami tidak sabar untuk menikmati suasana kampung sepanjang kayuhan nanti.
“Saya menggunakan basikal ‘Fat Bike’ atau orang Melaka panggil basikal tayar ‘besau’ manakala anak memilih basikal lipat (folding bike),” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Selain laluan kayuhan sepanjang kayuhan yang menarik, tawaran baju penyertaan, medal dan pelbagai lagi ‘goodies’ dianggap berbaloi turut mendorong Muhammad Muzzammil menyertai kayuhan itu.
Penganjuran Menara Taming Sari Fun Ride 3.0 juga membabitkan kayuhan sejauh 50km bagi mereka yang mahu mencabar diri dan pada masa yang sama menikmati keunikan sekitar Bandaraya Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.