Kayuh kayak jejak ‘rumah ikan’
SERKAM 6 Sept. – Hobi ekstrem pancingan kayak atau ‘kayak fishing’ kini menjadi trend dalam kalangan kaki pancing di negeri ini sehingga menjadikan komunitinya kian bercambah saban tahun.
Menjadikan perairan Pulau Burung, Pulau Dodol dan Pulau Upeh sebagai lokasi memancing, sekumpulan kaki pancing dari Kayak Fishing Melaka sanggup berpanas dan berhujan serta mengharung ombak besar semata-mata untuk melempiaskan minat memancing.
Seorang ahlinya, Mohd Fadzli Ahmad, 38, berkata, walaupun dianggap hobi ‘orang gila’ memancing di atas sebuah ‘sampan kecil’ dengan panjang 12 kaki, namun ia bukan penghalang untuknya bersama lebih 30 ahli lain meneruskan aktiviti itu.
Pada awalnya, dia yang mesra dengan panggilan ‘Dak Z’ sama seperti kaki pancing lain yang banyak memancing di tepi pantai, muara, sungai dan tasik, namun apabila mula mengetahui dan mempelajari pancingan kayak pada 2014, dia mula jatuh cinta.
“Sangat berbeza memancing biasa di tepian dengan memancing di atas kayak. Jika memancing di tepi kita menunggu ikan makan umpan.
“Tetapi dengan kayak kita dapat pergi terus ke rumah ikan dan mencari ikan itu dengan mengguna satu alat dipanggil sonar.
“Jadi, keterujaan itu memang berbeza kerana kita boleh terus berkayuh pergi ke kawasan berstruktur, lokasi pemainan ikan itu sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, sejak awal pembabitan dalam arena pancingan kayak, dia telah menghabiskan RM5,300 untuk membeli dua kayak khas menggunakan kayuhan tangan dan pedal kaki.
Selain itu, ribuan ringgit lagi juga dibelanjakan untuk membeli set pancing khas untuk teknik ‘jigging’, sonar dan kelengkapan-kelengkapan lain.
Meskipun terpaksa berhabis duit untuk memenuhi hobi itu, namun baginya, semua itu terbalas apabila dia berjaya menaikkan spesis ikan idaman kaki pancing.
“Antara pengalaman manis sejak menceburkan diri dalam arena pancingan kayak ialah apabila menaikkan spesis ikan gred A, iaitu ikan jenahak dalam anggaran saiz 3 kilogram (kg).
“Mungkin bagi orang lain saiz itu dianggap kecil, tetapi bagi saya, tarikan ikan jenahak sewaktu menyambar umpan jig yang diturunkan memang menguji adrenalin kitaa sewaktu bertarung dan ketika mendaratkannya.
“Selain jenahak, saya juga pernah menaikkan pelbagai spesis lain seperti kerapu, tebal pipi, senangin dan bandang,” ujarnya.
Selain mendaratkan ikan-ikan idaman, antara kenangan yang dianggap manis baginya ialah apabila dapat bertemu idola pancingan kayak Malaysia, Luqman Al Hakim atau lebih dikenali sebagai Vluq.
Pertemuan itu berlaku ketika dia dan ahli Kayak Fishing Melaka berkunjung ke Kuantan pada hujung tahun lalu yang menyaksikan dia bukan sahaja dapat mengenali lebih rapat figura popular yang mempunyai lebih 200,000 pengikut di Youtube itu bahkan turut dapat mempelajari teknik-teknik pancingan baharu.
Di sebalik kisah-kisah manis, turut tersimpan satu memori pahit yang pernah dialami Dak Z apabila terpaksa bertarung nyawa menyelamatkan diri selepas dibadai ribut ketika memancing di perairan Pulau Besar beberapa tahun lalu.
Menceritakan detik itu, dia yang menetap di Taman Krubong Jaya berkata, sewaktu kejadian dia tidak sempat menyelamatkan diri di pulau berhampiran, sebaliknya termasuk ke dalam kawasan ombak tinggi.
“Pada waktu itu, saya hanya mampu mengucap sepanjang masa dan pada masa sama menggunakan teknik asas mengawal kayak daripada terbalik.
“Lebih kurang 15 minit juga saya bertarung dengan ombak besar dan alhamdulillah saya berjaya mengharunginya dan pulang ke daratan dengan selamat.
“Walaupun boleh meragut nyawa, namun, semua itu bukan penghalang untuk saya meneruskan minat dalam arena pancingan ini kerana semua itu boleh menjadi pengalaman berharga dan memori yang akan dikenang,” katanya lagi.
Menurut juru teknik sebuah kilang di Batu Berendam itu, selain memancing, dia juga kini aktif menjadi vlogger memancing di YouTube menerusi saluran Dak Z Channel.
Menerusi platform itu, ujarnya, dia memuat naik video-video aksi pancingan kayak kepada lebih 2,000 pengikutnya dan percaya hobi berkenaan boleh memberi sumber pendapatan.
“Selain dapat menyaksikan kembali kenangan menaikkan ikan sewaktu memancing, dengan video-video itu juga dapat dijadikan sumber pendapatan melalui YouTube jika kita rajin berusaha.
“Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan beberapa kali memang aktiviti saya menerusi platform YouTube sedikit terjejas kerana tidak dapat keluar memancing.
“Tetapi, alhamdulillah sekarang Melaka sudah masuk ke Fasa 2 yang mana saya kini kembali aktif memancing dan mencari ‘content’ baharu untuk disajikan kepada kaki pancing,” katanya yang menyimpan impian memancing di perairan Terengganu dan Pulau Pinang suatu hari nanti.
Di akhir perbualan, Dak Z berharap aktiviti memancing akan terus berkembang dan menarik minat anak muda di negara ini.
Katanya, memancing bukan sahaja menenangkan jiwa bahkan ia jauh lebih bermanfaat berbanding obses kepada gajet atau melakukan aktiviti tidak bermoral seperti merempit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.