Kawalan sempadan diteruskan walaupun Op Benteng tamat Jun ini
KUALA LUMPUR, 6 April – Penugasan kawalan keselamatan sempadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diteruskan seperti biasa walaupun Operasi Benteng (Op Benteng) bakal ditamatkan Jun depan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata penugasan PDRM tetap sama terutamanya Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai tonggak utama dalam menjalankan kawalan keselamatan sempadan.
Beliau berkata sebelum adanya Op Benteng, penugasan itu memang dilaksanakan dan apabila Op Benteng ditubuhkan, PDRM banyak bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain.
“Fokus utama kami adalah untuk kawal keselamatan sempadan dan kami kekalkan, PDRM ada buat penambahan (unit) seperti Unit Berkuda dan dron serta rondaan (melalui Pasukan Gerakan Udara – PGU) di udara dipertingkatkan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“PGA juga mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan sempena persiapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Hazani berkata PDRM masih bekerjasama dengan agensi keselamatan lain cuma ia bukan atas nama Op Benteng tetapi operasi bersepadu misalnya dengan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Katanya operasi bersepadu tetap diteruskan selain operasi khas melalui perisikan khas oleh polis, tentera atau agensi lain.
Mengulas mengenai kawalan keselamatan sempadan negara pada masa kini, Hazani berkata situasi semasa keselamatan di sempadan negara ketika ini terkawal.
Pada Jan lepas, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan pengoperasian Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini.
Beliau dilaporkan berkata segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.