Sorting by

×

KAUNSELOR UiTM MELAKA GIAT JALANKAN PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN MENTAL

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

JASIN 25 Oktober – Secara umum masyarakat melihat perkhidmatan kaunseling tidak penting sehingga ada yang memberikan stigma negatif jika seseorang itu berjumpa kaunselor.

Ramai beranggapan kaunseling hanya untuk orang bermasalah atau si penyebab masalah. Misalnya di universiti, ramai akan melabel pelajar berjumpa kaunselor kerana mempunyai masalah disiplin.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin, Noor Aiennatul Mardhiyah Abdul Wahab berkata pandangan negatif dan klise seperti itu secara tidak langsung memberi imej buruk kepada perkhidmatan kaunseling.

Whatsapp Image 2024 10 25 At 16.56.28
SADLI (tengah) melakukan simbolik perasmian sambutan bulan kaunseling tersebut.

“Hampir 10 tahun berkhidmat sebagai kaunselor di universiti, rata-rata pelajar berkongsi mereka mula menunjukkan simptom-simptom penyakit mental seperti kemurungan akibat dibuli sejak kecil.

“Perubahan pada diri mereka lebih ketara apabila meningkat dewasa dan memasuki alam universiti, ini akan memberi kesan apabila mereka lebih gemar menyendiri dan tidak suka bergaul.

“Justeru, sebagai kaunselor masa kini,kita perlu lebih efektif dalam memberi perkhidmatan, sebaiknya digalakkan kaunselor turun padang untuk mengadakan program kesedaran kesihatan mental bagi memberi pendedahan tentang isu buli ini,” katanya.

Whatsapp Image 2024 10 25 At 16.52.07
TETAMU khas ibu dan bapa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain hadir memberi sedikit perkongsian tentang kejadian menimpa arwah anaknya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UiTM Cawangan Melaka 2024 ‘Tekad Empati Sejahtera Insani’ di Auditorium UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin di sini, hari ini.

Sambutan berkenaan mendapat kerjasama Lembaga Kaunselor (Malaysia) yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kaunselor, Sadli Osman.

Katanya sebagai kaunselor dia sentiasa menasihati pelajar supaya tidak perlu malu apabila panik atau murung kerana kesihatan mental dan fizikal adalah sama penting, jadi perlu dapatkan rawatan dengan segera.

“Jangan malu jumpa kaunselor jika mahu sihat, jika semakin lama masalah mental ini dibiarkan, simptom akan menjadi semakin teruk, oleh itu lagi cepat dapatkan rawatan lagi cepat kita sihat,” katanya.

Tambahnya, gejala buli juga tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana dikhuatiri akan menggangu proses pembesaran seseorang individu.

Whatsapp Image 2024 10 25 At 16.54.26
NOOR Aiennatul Mardhiyah.

“Saya mahu hebahan terhadap kesedaran gejala buli ini dibuat secara lebih meluas, kaunselor perlu turun ke lapangan selain daripada buat sesi kaunseling dan terapi.

“Masalah mereka tidak akan selesai dengan kaunseling sahaja, sebab itu perlu adanya program begini dan kita jemput semua peringkat umur untuk dengar sendiri tentang gejala buli ini.

“Anjurkan pelbagai aktiviti dengan menjemput figura relevan supaya pelajar berminat untuk mendengar forum atau taklimat mengenai kesihatan mental dan buli ini, sayangi lah diri kita sebelum terlambat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post SEMAI RASA CINTA PADA RASULULLAH SAW
Next post TABIB ADAM ‘GHAIB’
Ubah saiz-+=