Kau dah kenapa?
JOHOR BAHRU 7 April. – Tindakan seorang remaja perempuan memalsukan laporan keputusan ujian calitan COVID-19 bagi menunjukkan kononnya dia positif COVID-19, mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berumur 19 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari di sebuah rumah di Mutiara Rini, Skudai di sini, susulan laporan polis dibuat seorang pemilik sebuah restoran, yang merupakan majikannya.
Beliau berkata lelaki berumur 32 tahun itu mendakwa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya yang menghantar foto sekeping surat mendakwa positif COVID-19.
“Sejurus menerima mesej berkenaan, majikan itu bertindak menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 pekerja lain untuk membuat ujian calitan COVID-19. Ujian kemudian mengesahkan majikan dan 12 pekerja terbabit negatif COVID-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata majikan itu kemudian bertanya sendiri kepada remaja itu bagi mengetahui cerita sebenar, sebelum remaja perempuan itu mengaku menipu majikannya disebabkan tidak mahu datang bekerja gara-gara merasakan dirinya tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran.
“Menurut majikan terbabit, remaja perempuan itu baru sehari diterima bekerja di restoran berkenaan Isnin lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan kerana memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan COVID-19 dan polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap remaja perempuan itu esok untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.