Sorting by

×

Katil sedia ada masih mencukupi untuk pesakit COVID-19 di HM

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 2 Mei – Kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 di Hospital Melaka (HM) masih pada tahap terkawal dan mampu menampung keperluan rawatan pesakit yang mengalami penyakit kronik dan kritikal.

Pengerusi Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penggunaan katil di hospital berkenaan berada pada tahap 55.6 peratus atau 65 unit katil.

Katanya, hospital berkenaan dikhususkan kepada pesakit COVID-19 yang mempunyai kadar penyakit di peringkat ketiga sehingga kelima serta mengalami penyakit kronik.

“Sebanyak 65 katil daripada 117 katil digunakan setakat ini manakala selebihnya (pesakit positif COVID-19) dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang), Serdang,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata penggunaan katil di hospital berkenaan bagaimanapun boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

“Kita pernah pertingkatkan kapasiti katil sehingga 300 unit namun buat masa ini 117 jumlah katil susah memadai.

“Maknanya, Melaka masih dalam keadaan stabil dan okay, Insya-Allah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kadar penggunaan katil di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kini masing-masing melebihi tahap 70 peratus, iaitu berada pada tahap ambang amaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, ada antara hospital berkenaan ketika ini menghampiri kadar kapasiti penggunaan katil 100 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

284
Kongsi :
Previous post Kastam mahu tujuh dron lagi untuk tinjauan sempadan
Next post Remaja lelaki lemas terjatuh di laut selepas menjaring
Ubah saiz-+=