Kasut manik seni halus budaya Peranakan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KOTA LAKSAMANA 19 Jun – “Setiap ‘nyonya’ perlu ada sekurang-kurangnya satu kasut manik,” ujar Presiden Persatuan Peranakan Cina Melaka Baba Peter Ong, 68.

Menurut generasi kelima keturunan Peranakan Cina itu, nyonya merujuk kepada wanita dalam kaum tersebut dimana kasut bersulam manik menambah keayuan wanita kaum tersebut pada zaman 1920-an dahulu.

Katanya, pelbagai unsur dari flora dan fauna serta lain-lain motif corak di sulam menggunakan manik halus pelbagai warna untuk menyerikan lagi kasut yang akan dipakai si nyonya.

Ujarnya, untuk sepasang kasut memerlukan kesabaran dan dedikasi yang tinggi untuk disiapkan dan melibatkan ribuan manik halus dijahit pada ‘muka kasut’ iaitu rangka sebelum dijahit pada kasut.

“Kasut manik ini merupakan warisan baba nyonya, kalau pakai baju kebaya mesti ada sarung (kasut), sarungnya ialah kasut manik dan kita nak pertontonkan kepada orang awam mengenai seni kasut manik Peranakan Cina di Melaka.

“Terdapat barang pameran di sini yang telah berusia lebih 100 tahun, dihasilkan pada tahun 1920, dan barangan di sini adalah turun temurun dari zaman nenek moyang.

“Kasut manik ini kebiasaannya dijahit menggunakan manik halus atau terma yang digunapakai zaman dahulu ‘manik potong’.

“Manik peranakan yang kita lihat kini kebanyakan dipengaruhi oleh era penjajahan British sekitar tahun 1820 hingga 1914,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui di Pameran Manik di Rumah Peranakan Cina Melaka di sini hari ini.

Menerusi Pameran Manik itu sebanyak 600 barangan termasuk kasut, beg, manik dan pelbagai artifak dan replika yang bersulamkan manik dipamerkan.

Mengulas lanjut, Baba Peter berkata persatuannya itu mempunyai 500 ahli dari seluruh negara dan memaklumkan pameran itu hasil dukungan dari Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA).

Tambahnya, menerusi pameran itu juga hasil dari pelajar-pelajar yang mengikuti kelas menjahit manik turut dipamerkan dan dijual pada harga serendah RM600 dan keatas.

Baba Peter turun memaklumkan pameran yang pertama kali dilakukan itu akan diangkat menjadi program tahunan dan akan berbincang dengan pihak pelancongan negeri untuk diletakkan sebagai acara pelancongan negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5851
Kongsi :
Previous post Eskpo pendidikan capai objektif, perlu dianjur setiap tahun
Next post Chakiak dan Srekop Laok tarikan utama Pameran Manik
Ubah saiz-+=