
Kastam sita 50 kenderaan mewah tiada AP bernilai RM11.4 juta
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata operasi yang berakhir esok itu memfokuskan kepada kenderaan import individu serta syarikat di sekitar Pelabuhan Klang.
“Sembilan daripada 50 kenderaan melibatkan motosikal berkuasa tinggi manakala selebihnya adalah kereta mewah dari pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.
Mohammad berkata kesemua kenderaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan di bawah Butiran 3 Jadual Kedua/Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang permit pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk permit import dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Mohammad Sabri menggesa orang ramai untuk membantu JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat JKDM terdekat di semua negeri.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.