Sorting by

×

Kastam P.Pinang rampas 18kg dadah bernilai RM1.8 juta

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BUTTERWORTH, 30 Dis – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar kegiatan pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier, selepas merampas lebih 18 kilogram  (kg) dadah bernilai RM1.8 juta dalam serbuan di Pusat Perniagaan Raja Uda, di sini pada 22 Dis lepas.

Pengarahnya Abdul Halim Ramli berkata sepasukan pegawai unit narkotik jabatan itu telah membuat pemeriksaan di syarikat kurier tersebut pada 6 petang dan merampas 10 kotak bungkusan yang mengandungi rangka basikal kanak-kanak bersama tayar dan rim.

Beliau berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 10 kotak bungkusan itu yang melibatkan satu alamat pengirim di Pulau Pinang, iaitu syarikat menjual basikal, untuk dihantar ke negara di Oceania.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas satu daripada kotak tersebut menemui bungkusan dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam tayar basikal tersebut, dipercayai untuk dieksport ke luar negara dengan menggunakan taktik itu untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya sebanyak 104 bungkusan plastik dadah jenis methamphetamine ditemui dalam 10 kotak berkenaan iaitu keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 18.028 kg bernilai RM1.8 juta

Abdul Halim berkata pihaknya telah merekodkan beberapa keterangan bagi membantu siasatan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang terlibat dan mengenal pasti sama ada sindiket tersebut pernah menjalankan kegiatan sama sebelum ini.

“Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut agar menghubungi pihak kastam bagi bersama-sama membanteras aktiviti ini,” katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post ADUN Klebang ketuai lafaz ikrar bebas rasuah
Next post Amaran hujan sangat lebat di Jeli, Kelantan, Terengganu dijangka banjir malam ini – JPS
Ubah saiz-+=