Kastam mahu tujuh dron lagi untuk tinjauan sempadan
PELABUHAN KLANG 2 Mei. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bercadang menambah tujuh lagi dron untuk digunakan membuat tinjauan di kawasan sempadan negara bagi mengenal pasti jeti haram penyeludup.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Penolong Kanan Pengarah Kastam II Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang JKDM Kelantan Md Erwan Sahran Isa berkata perkara itu sedang dalam perbincangan oleh pengurusan tertinggi JKDM.
Beliau berkata penambahan dron ini akan ditempatkan khususnya di sempadan seperti di Perlis, Kedah, Johor dan persempadanan darat di Sabah serta Sarawak.
“Dron berkenaaan akan memudahkan lagi tugasan dan pengawasan pihak berkuasa di kawasan persempadanan negara.
“Pegawai kastam menggunakannya sebagai ‘first target’ (bagi mengenal pasti sebarang kegiatan yang mencurigakan) sebelum pegawai atau anggota kastam mengambil tindakan apabila tiba di lokasi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Pulau Ketam semasa Demonstrasi Penggunaan Dron Kastam.
Beliau berkata fungsi dron ini lebih kepada membuat tinjauan dan untuk mengenal pasti terlebih awal kes-kes yang sedang berlaku terutamanya di sempadan negara seperti di Kelantan.
“Kami gunakan dron untuk tinjauan lebih di Sungai Golok dan di persempadanan yang sedia ada bermula di Bukit Bunga hingga di Pengkalan Kubor, Kelantan.
“Selain itu, dron juga digunakan lebih kepada pembuktian (dengan cara gambar atau) video dirakam secara automatik dan kita akan menggunakan video dan imej itu sebagai satu daripada bukti di mahkamah (untuk pertuduhan bagi setiap jenayah yang dilakukan),” katanya.
Selain itu, beliau berkata dron yang dicadangkan itu mungkin memiliki ciri-ciri teknologi yang lebih baik dan canggih seperti dilengkapi dengan ‘night vision’ dan juga daya upaya zum yang lebih jauh.
Dalam pada itu, Md Erwan berkata JKDM telah memulakan penggunaan dron sejak 2016 hingga ke hari ini.
Beliau berkata JKDM memiliki lima unit dron iaitu dua di Kelantan manakala tiga lagi di Ibu Pejabat JKDM Putrajaya.
Mengulas mengenai dron milik JKDM sama ada mengenal pasti sebarang kegiatan jenayah, Md Erwan berkata sebarang maklumat berkaitan atau mereka yang disyaki terlibat akan dibawa ke agensi penguatkuasaan lain untuk dikenakan tindakan selanjutnya.
“JKDM akan salurkan maklumat. Misalnya di Kelantan, kami akan berkongsikan maklumat dengan Polis Diraja Malaysia jika pihak JKDM mengesan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan atau pangkalan-pangkalan haram yang ada di Sungai Golok.
“…dan pangkalan ini pula, hari ini ia (pangkalan itu) ada dan kemudian ia tukar (berubah lokasi). Selalunya kerjasama diadakan bersama Pasukan Gerakan Am. Memang ada kerjasama,” katanya.
Jelasnya ketika ini, bukan hanya melalui dron sahaja, bahkan jika terdapat sebarang kegiatan yang mencurigakan yang didapati dengan mata kasar melalui rondaan oleh pegawai dan anggota kastam, pihaknya akan berkongsikan maklumat tersebut dengan agensi keselamatan yang berkaitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.