Kastam lepaskan tembakan, kejar lori bawa minuman keras seludup
JOHOR BAHRU, 22 April – Penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ketika cuba menghentikan sebuah lori yang dipercayai membawa minuman keras seludup.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lori yang dipandu lelaki berusia 40 tahun itu bukan sahaja cuba melarikan diri, malah cuba melanggar kenderaan penguat kuasa dalam satu kejadian di bandar raya ini semalam.
Beliau berkata pihak kastam yang meminta bantuan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, mengejar lori tersebut sejauh 20 kilometer (km), iaitu kira-kira sejam dari Jalan Danga Bay hingga ke susur Tol Lima Kedai.
Katanya dalam kejadian pada 1.12 tengah hari itu, sebuah kereta peronda polis (MPV) turut dilanggar lori terbabit sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian belakang kenderaan itu, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Pemandu lori itu ditahan dan kita merampas lori yang membawa muatan minuman keras,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata hasil semakan mendapati pemandu lori itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan dia direman selama 10 hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (E) Akta Kastam 1967, Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39D Akta Senjata 1960 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Kamarul Zaman berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan JKDM bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
Terdahulu, sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sebuah pacuan empat roda sedang mengejar sebuah lori dan turut melepaskan beberapa das tembakan apabila lori terbabit tetap meneruskan perjalanan, selain cuba melanggar pacuan empat roda itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.