Kasih Hock Teng demi anak angkat OKU
BANDA HILIR 3 Ogos – “Selagi terdaya dan diberikan umur panjang saya akan terus menjaganya,” itu kata Teo Hock Teng iaitu bapa angkat kepada seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU).
Hock Teng, 65, berkata, dia mula menjaga anak angkatnya Lee Jun Yee, 16, sejak remaja itu berusia tiga bulan.
Menurutnya, meskipun anak angkatnya itu disahkan OKU pembelajaran dan mempunyai masalah kesihatan yang lain termasuk sawan, asma dan tulang belakang bengkok namun itu tidak menjadi halangan buat dirinya membesarkan anak itu sendirian.
“Sayang saya kepadanya seperti anak sendiri malah saya lebih arif dan tahu akan perangai serta tingkah lakunya.
“Meskipun dia tidak boleh bercakap tetapi dia faham apa yang dikatakan, biarlah sementara masih mempunyai kudrat saya menjaganya seperti biasa,” katanya.
Warga emas itu dan anak angkatnya ditemui selepas sesi penyerahan sumbangan oleh Lions Club Tanjung Bidara yang diserahkan oleh Presiden kelab itu Patrick Chang dan disaksikan Gabenor Daerah 308 B1 Lions International Alex Thiam Poh Ooi, di Taman Melaka Raya, semalam.
Menurut warga emas itu, sepanjang menjaga anak angkatnya itu dia tidak berdepan masalah besar sehinggalah menyedari remaja perempuan itu mengalami masalah bengkok tulang belakang pada 2018.
“Apa yang merungsingkan saya kini apabila keadaan tulang belakangnya semakin teruk dan perlu rawatan susulan yang kerap sama ada di Hospital Melaka atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.
“Ditambah lagi keperluan susu khas dan juga lampin pakai buang, untuk perbelanjaan ini sahaja saya perlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.
“Dulu saya mengutip dan menjual kotak untuk tambung perbelanjaan tetapi disebabkan ada kekangan saya tidak lagi dapat berbuat demikian selain hanya bergantung kepada ihsan rakan serta pihak tertentu,” katanya yang kini menumpang di rumah ibunya.
Ujarnya, dia amat berterima kasih kepada pihak Lions Club kerana sudi membantunya meringankan beban perbelanjaan apabila menyerahkan sumbangan wang tunai.
Sementara itu, Patrick Chang berkata, dana itu diperoleh kelabnya menerima kutipan derma yang dilakukan selepas pihaknya berjumpa dengan Hock Teng pada 16 Julai lepas.
“Kami bersimpati dengan nasib dua beranak itu dan membantu dengan membuat kutipan derma susulan itu ramai pihak yang tampil menghulurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan lebih RM32,000 dalam tempoh semiggu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.