Karnival Perpaduan Japerun Duyong eratkan hubungan kaum

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

DUYONG 30 Oktober – Lebih 3,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, hadir memeriahkan Karnival Perpaduan Japerun Duyong diadakan di Dewan Japerun Duyong, di sini, pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, lebih bermakna apabila karnival itu turut dihadiri penduduk pelbagai bangsa yang bersama-sama mengambil bahagian dalam 10 acara dipertandingkan

Katanya, penganjuran karnival itu turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil daripada Kementerian Perpaduan Negara; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perangkaan Malaysia, Melaka dan Mytv.

“Antara acara yang menarik perhatian adalah tarik tali dewasa dan kanak-kanak, lari dalam guni, boling kampung, lari batu bata, terompah gergasi, sepak bulu ayam dan isi air dalam botol.

“Selain daripada sukan, kita juga anjurkan Kelas Bijak Sifir disertai 30 peserta berusia 10 hingga 12 tahun, persembahan kebudayaan tiga bangsa termasuk seni mempertahankan diri wushu dan silambam.

“Bersempena perayaan Deepavali tidak lama lagi, kita juga adakan pertandingan mencipta kolam dengan setiap pasukan diwakili peserta Melayu, Cina dan India,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sians, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, FAMA turut mengadakan karnival jualan Agro Madani dengan tawaran harga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa yang merancang dan mengatur perjalanan karnival dengan cemerlang.

“Secara peribadi saya amat gembira dengan penganjuran karnival ini, secara keseluruhan ia diuruskan oleh kakitangan Japerun Duyong bersama kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Duyong, agensi serta individu.

“Kita harapkan acara seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan kerana ia menyatukan semua bangsa dan merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

853
Kongsi :
Previous post Jeneral Songwit Noonpackdee dianugerahkan beret ‘merun’, Sayap Penerjunan Kanan Kehormat
Next post 107 persatuan terima GPPK RM1.07 juta – Exco
Ubah saiz-+=