Sorting by

×

Karnival Pekerjaan PERKESO secara maya

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 28 Sept. – Penganjuran Karnival Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), MyFutureJobs pada Oktober ini akan diadakan secara maya dengan penyertaan lebih 20 majikan yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja di negeri ini.

Exco Tenaga Kerja, Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, pihak PERKESO akan mengendalikan program itu di Hotel Mudzaffar Ayer Keroh pada 16 Oktober depan.

Menurutnya, penganjuran program itu secara maya dilihat bersesuaian dengan keperluan semasa ketika ini yang masih berdepan dengan situasi pandemik COVID-19.

ISMAIL. Foto – fail/ MR. Azli

“Pencari kerja yang berminat boleh layari laman sosial PERKESO negeri bagi pendaftaran kerja dan maklumat lanjut mengenai program ini.

“Butiran yang lengkap memudahkan pihak PERKESO melakukan padanan antara pencari kerja dengan pihak majikan yang mengambil bahagian pada 16 Oktober nanti,” katanya.

Beliau ditemui pada program Bantuan dan Faedah Prihatin PERKESO yang turut disertai Pengarah PERKESO negeri, Abd. Razak Omar di Taman Krubong Jaya.

Menurut Ismail, penganjuran MyFutureJobs memberi peluang kepada pencari kerja atau mereka yang berhasrat meningkatkan skil kemahiran mengenal pasti pekerjaan yang sesuai untuk mereka serta memilih majikan yang menawarkan tawaran gaji lebih baik.

Menurutnya, inisiatif PERKESO menganjurkan program pekerjaan selain MyFutureJobs terbukti membantu lebih ramai golongan pencari kerja memperolehi pekerjaan dalam waktu yang singkat.

“Cuma kali ini, kita adakan program MyfutureJobs secara atas talian disebabkan faktor pandemik, malah perhubungan atas talian seperti sekarang ini adalah lebih mudah dan berkesan.

“Penganjuran program ini secara atas talian lebih kepada mengikut keperluan semasa hari ini yang sebahagian besarnya lebih banyak menggunakan kaedah secara maya, ia lebih selamat,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Ibu anak enam kematian suami akibat COVID-19
Next post Saiful Azly antara 33 pegawai kanan PDRM terbabit pertukaran
Ubah saiz-+=