Karnival makanan bantu promosi TMM2024
AYER KEROH 20 Disember – Menyasarkan kehadiran pengunjung kira-kira 500,000 orang, Karnival Jom Santai Food Festival MITC Melaka secara tidak langsung membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kepada pengunjung luar.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Ayer Keroh yang juga penganjur bersama Alif Asyraf Sardi berkata, festival yang berlangsung selama 10 hari itu yang bermula pada Rabu (hari ini) menghimpunkan lebih 100 peniaga yang menawarkan pelbagai jenis menu makanan dari lima negara.
Jelasnya, penganjuran festival itu yang pertama kali diadakan di Melaka dijangka akan menjadi tumpuan ramai terutamanya ‘kaki makan’ meskipun sebelum ini sudah menjelajah ke beberapa negeri lain termasuk Selangor, Kelantan dan Terengganu
“Pada festival ini terdapat lebih daripada 100 gerai yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman bukan sahaja dari Thailand dan Vietnam tetapi juga dari makanan Arab seperti kebab, Shawarma dan kunafa. Menariknya juga kebanyakkan makanan yang dijual juga adalah dari peniaga luar Melaka seperti Nasi Maqluba, Ayam Pasu dan juga Nasi Ganja.
“Oleh itu penganjuran festival ini secara tidak langsung akan membantu Kerajaan Negeri Melaka khususnya dalam mempromosikan Melaka sempena TMM2024 yang berbaki kira-kira 10 hari lagi kerana sasaran kita bukan sahaja pengunjung dari dalam malah luar negeri juga,” katanya ketika ditemui di Karnival Jom Santai Food Festival MITC Melaka , hari ini.
Menurutnya, festival yang dianjurkan RNL itu, bukan sahaja tertumpu kepada makanan sebaliknya terdapat juga gerai jualanan pakaian dan tempat riadah untuk kanak-kanak seperti Mini Zoo serta permainan air.
“Bagi memastikan setiap pengunjung yang datang dapat menikmati makanan pilihan mereka dengan tenang dan gembira, kami yakin harga setiap hidangan mahupun minuman yang ditawarkan berpatutan serta munasabah,” katanya.
Sementara itu, pagi peniaga Ayam Pasu dari Balik Pulau, Pulau Pinang, Nor Fazilah Mat Isa@Halim, 40, berkata, peluang berniaga di Melaka adalah yang ditunggu-tunggu kerana lokasinya amat strategik dan menjadi pilihan pengunjung untuk bercuti.
“Resepi ayam kami ini adalah cetusan resepi warisan turun temurun jadi kami percaya dapat menawan hati penggemar ayam bakar ditambah pula dengan sos yang mempunyai kelainan tersendiri,” katanya.
Bagi seorang lagi peniaga iaitu Muhammad Nur Aliff Mohd Haniff, 24, menjual Nasi Maqluba yang amat popular dimakan bersama ‘lamb shank’ berkata, penggemar hidangan itu perlu merebut peluang untuk merasai sendiri dengan mengunjungi Karnival Jom Santai Food Festival MITCÂ Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.