KARNIVAL KPDN ZON SELATAN CATAT KUTIPAN JUALAN TERTINGGI RM2.7 JUTA
AYER KEROH 8 Disember – Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Zon Selatan berjaya catat kutipan jualan tertinggi iaitu RM2.7 juta berbanding penganjuran di zon-zon lain.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menyifatkan penganjuran karnival tersebut sebagai membanggakan kerana berjaya catat lebih 104,000 pengunjung sepanjang tiga hari ianya berlangsung.
Ab Rauf berkata, lebih membanggakan apabila Karnival itu diiktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai ‘Longest Non-Stop Government Community Sales’ iaitu 40 jam tanpa henti Program Jualan Rahmah Madani.
“Alhamdulillah, ini merupakan jumlah yang tertinggi sepanjang penganjuran Program Jelajah Karnival KPDN bagi Tahun 2024 berbanding dengan kutipan di zon-zon lain.
“Setakat jam 12 tengah hari tadi, statistik pengunjung Program Jelajah Karnival KPDN merekodkan seramai 104,000 pengunjung dengan nilai hasil kutipan jualan berjumlah RM2.7 juta sepanjang tiga hari berlangsung.
“Program ini telah berlangsung selama 40 jam tanpa henti, sekali gus mendapat pengiktirafan oleh MBOR, iaitu Longest Non-Stop Government Community Sales iaitu 40 jam tanpa henti Program Jualan Rahmah Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN 2024 Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli parlimen Hang Tuah Jaya; Adam Adli Abd Halim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Ketua Setiausaha KPDN; Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
Yang turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco, Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.
Jelasnya, penganjuran karnival sebegini memberikan impak yang besar bagi menggerakkan ekonomi selain membuka mata masyarakat mengenai fungsi serta perkhidmatan yang ditawarkan KPDN.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan inisiatif seumpama ini kerana saya yakin ia mampu memberi impak yang besar dalam menggerakkan ekonomi di samping menjadi platform terbaik menyampaikan maklumat serta kefahaman kepada masyarakat mengenai fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPDN.
“Pada masa yang sama, karnival ini turut menonjolkan peranan dan tugas KPDN seperti advokasi kepenggunaan, penguatkuasaan, inisiatif di bawah Payung Rahmah Madani seperti Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Logo Barangan Malaysia (LBM),” katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, turut berlangsung cabutan bertuah kepada pengunjung karnival tersebut dengan menyaksikan hadiah utama iaitu sebuah motosikal Modenas Kriss MR2 dimenangi oleh Noramira Mohd Noor dan disampaikan sendiri oleh Ab Rauf.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.