Karnival Kerjaya Melaka tawar 5,000 peluang pekerjaan 11, 12 Mac ini
AYER KEROH 2 Mac – Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan termasuk kira-kira 10 peratus daripadanya terbuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ditawarkan pada Karnival Kerjaya Myfuturejobs Negeri Melaka Careertrans 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, karnival berkenaan diadakan pada 11 dan 12 Mac ini membabitkan 25 majikan daripada pelbagai sektor dan industri.
“Berikutan kejayaan karnival ini pada tahun lalu yang merekodkan lebih 6,000 kehadiran pencari kerja, kita teruskan lagi pada tahun ini.
“Tahun lalu juga sebanyak 1,200 pencari kerja mendapat pekerjaan serta-merta selepas ditemu duga pada karnival itu, manakala seramai 3,000 pencari kerja pula menjalani temu duga untuk kali kedua.
“Sasaran kita untuk kali ini lebih besar, kita juga sediakan 10 peratus peluang pekerjaan untuk golongan OKU pada kali ini, jangan lepaskan peluang kerana setiap majikan ada sertakan pekerjaan untuk OKU juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Kerjaya Myfuturejobs Negeri Melaka Careertrans 2023 di MITC bemula 11 dan 12 Mac ini di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Melaka, Abd Razak Omar.
Sementara itu, Abd Razak berharap lebih 5,800 pekerja e-hailing di negeri ini berdaftar dengan PERKESO untuk mendapakan caruman sebagai perlindungan kepada diri mereka.
“Pekerja e-hailing yang berdaftar di negeri Melaka ada seramai 3,800 orang, kita harapkan semua pekerja e-hailing sama ada ‘rider’ (penunggang) atau pemandu teksi mencarum.
“Di Melaka pekerja e-haliling dalam 5,800 orang, daripada jumlah ini masih ada lagi yang belum daftar dan mencarum dengan kita, saya nasihatkan mereka datang pejabat PERKESO untuk membuat caruman,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.