Sorting by

×

Karnival kerja bantu kurangkan pengangguran anak muda

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 8 Julai – Penganjuran Karnival Kerjaya Anak Muda My Future Life Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau antara inisiatif dijalankan mengurangkan kadar pengangguran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pada program itu hampir 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

“Kita juga lihat program ini mampu membantu membasmi penangguran dan pada masa yang sama meningkatkan taraf ekonomi terutamanya penduduk DUN Ayer Limau.

“Dengan 1,868 tawaran jawatan kosong sekurang-kurangnya dapat membantu anak-anak muda di DUN ini mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Karnival Kerjaya Anak Muda My Future Life DUN Ayer Limau 2023 di Kompleks Japerun Ayer Limau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff dan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, berkata 13 majikan mengambil bahagian pada program itu termasuk beberapa syarikat gergasi Malaysia.

“Pencari kerja yang datang diberi ruang untuk ditempatkan di syarikat besar di Malaysia. Melihat daripada sambutan amat menggalakkan ini, insya-Allah tahun hadapan kita akan cuba tawarkan lebih banyak peluang pekerjaan selain dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk penganjuran kali ini pihaknya menyasarkan 3,000 kehadiran berbanding hanya 1,000 pada karnival lalu.

“Sehingga jam 12.30 tadi seramai 2,350 hadir dan ini menunjukkan peningkatan 100 peratus. Sehingga petang ini kita jangka 3,000 orang akan hadir bukan sahaja untuk mencari peluang pekerjaan tetapi juga melihat tawaran menyambung pelajaran, pemeriksaan kesihatan ataupun mendaftar sebagai sukarelawan untuk Tahun Melawat Melaka 2024.

“Untuk pencari kerja pula seramai 275 orang hadir dengan 42 daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan manakala 152 lagi layak untuk dipanggil pada sesi temuduga kedua,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1416
Kongsi :
Previous post Transformasi hidup melalui hijrah
Next post Sebak selepas ditawarkan kerja
Ubah saiz-+=