![6154545250652243509](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6154545250652243509.jpg?v=1739439918)
KARNIVAL ICT, INOVASI BANTU MANTAPKAN PERKHIDMATAN
JASIN 13 Februari – Semua agensi dan jabatan Kerajaan Negeri disaran menganjurkan Karnival ICT dan Inovasi bagi menghasilkan idea serta inisiatif baharu dalam memantapkan sistem perkhidmatan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, karnival itu dapat membentuk kerjasama setiap kakitangan selain meneroka teknologi terkini yang boleh diadaptasikan.
“Selain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), saya menyarankan semua agensi Kerajaan Negeri untuk turut menganjurkan karnival ini dengan melibatkan syarikat swasta untuk tajaan dan sebagainya.
“Kali ini Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil langkah proaktif menganjurkan karnival bagi menghasilkan idea baharu yang diilhamkan oleh kakitangannya.
“Karnival ini merupakan platform strategik untuk berkongsi pengalaman dan cabaran, meneroka teknologi terkini, membentuk kerjasama serta sinergi antara jabatan atau agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Karnival ICT & Inovasi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Dewan Alamanda MPJ di sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan; Ketua Pegawai Eksekutif Kyrol Security Labs Sdn Bhd, Khairol Shapawi Abdul Karim dan kakitangan MPJ.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, perkembangan pesat era digital masa kini menjadikan jabatan dan agensi kerajaan lebih mencabar.
“Justeru itu, jabatan dan agensi perlu lebih peka dengan perkembangan semasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan inovasi.
“Diharap karnival ini dapat membantu MPJ dalam menghasilkan idea dan inisiatif baru, sekali gus memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.