Karnival Deepavali Melaka meriah!
BANDA HILIR 22 Oktober – Meskipun hujan lebat disertai angin kencang, hari terakhir Karnival Deepavali tetap meriah dihadiri bukan sahaja mereka yang beragama Hindu malah turut disertai masyarakat berbilang bangsa.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugan berkata, karnival yang berlangsung selama lima hari itu bermula pada Selasa, mendapat sambutan luar biasa termasuk daripada pelancong yang berkunjung ke Melaka.
“Kita jangkakan kira-kira 1,000 orang yang hadir dan difahamkan sudah lebih 600 kehadiran termasuk pelancong.
“Meskipun pada malam terakhir ia agak mencabar apabila cuaca hujan lebat dan angin kuat tetapi kehadiran tetap ramai malah saya amat berbesar hati apabila Ketua Menteri bersama isteri turut hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Karnival Deepavali 2022 Peringkat Negeri Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ditemani isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, selain karnival, kehadiran pembeli serta pengunjung ke Bazar Deepavali juga mendapat sambutan ramai apabila mendapatkan barangan bagi membuat persiapan sambutan.
“Kita jangka untuk hari-hari terakhir ini dalam 5,000 hingga 6,000 akan hadir untuk membeli keperluan dan barangan.
“Meskipun begitu, saya amat berharap baik peniaga mahupun pengunjung utamakan kebersihan, seperti kita tahu Melaka sebuah negeri yang utamakan kebersihan maka peniaga termasuk semua biar poket kita kotor jangan jalan raya atau Melaka yang kotor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.