Karnival Baca Perdana julung kali dianjur PNM Julai ini – PNM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PUTRAJAYA, 23 April – Karnival Baca Perdana anjuran Perpustakaan Negara (PNM) akan diadakan buat julung kali pada Julai ini bagi menghidupkan semula Kempen Bulan Membaca Kebangsaan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron berkata pelaksanaan karnival itu sejajar dengan hasrat untuk melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu pengetahuan dan berbudaya nilai tinggi.

“Ia juga bertujuan menyokong penuh gagasan Dekad Membaca Kebangsaan yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara Pembaca menjelang 2030.

“Karnival ini juga dapat membangunkan budaya membaca yang mampan dengan mewujudkan perkongsian dan inisiatif untuk memastikan impak jangka panjang serta mewujudkan tabiat membaca yang berkekalan,” katanya dalam ucapan perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di sini hari ini.

Kempen Jom Baca 10 Minit diadakan bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun.

Mengenai kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia, Aaron berkata Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 yang dijalankan PNM menunjukkan peningkatan ketara iaitu dari dua naskhah buku setahun pada 2005 kepada 24 naskhah setahun pada 2022 dan 2023.

“Peningkatan ini adalah hasil daripada pelbagai program pemerkasaan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Aaron berkata PNM bersama perpustakaan desa, perpustakaan komuniti dan Perpustakaan Awam Negeri Perlis telah melaksanakan 73,406 Program Galakan Membaca yang disertai 2.32 juta peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur, golongan dan bangsa pada tahun lepas.

Beliau berkata pada tahun lepas, PNM menerima 851,386 pengunjung merangkumi 103,033 pengunjung fizikal dan 748,353 pengunjung maya menerusi laman sesawang serta media sosial PNM.

“PNM juga menyediakan perkhidmatan rujukan dan bacaan secara dalam talian iaitu u-Pustaka. Rakyat Malaysia boleh manfaatkan sumber digital ini secara percuma,” katanya dan menambah seramai 678,616 rakyat negara ini telah mendaftar menjadi ahli u-Pustaka sehingga Februari lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
Kongsi :
Previous post Dua helikopter terhempas di Lumut, 10 disahkan meninggal dunia – TLDM
Next post Syarikat semikonduktor sasar pelaburan RM1 bilion di Melaka dalam tempoh lima tahun
Ubah saiz-+=