Sorting by

×

Kapal tangki cuba lolos dari tahanan dipintas Maritim Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LINGGI 22 Mei – Cubaan sebuah kapal tangki untuk meloloskan diri dari tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor gagal selepas ditahan semula di perairan Selat Melaka awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal tangki MT JW JEWEL yang berdaftar di Vietnam itu ditahan melalui OP Jangkar Haram oleh Maritim Johor pada 27 Mac lalu atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Balau, Johor dan telah dikesan hilang dari kedudukan lokasi ditahan sekitar jam 9.50 malam, semalam.

MARITIM Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan memantau kapal tangki yang dipintas di perairan Selat Melaka. Foto- ihsan Maritim Malaysia.

Kataya, kehilangan kapal dari Vietnam itu dimaklumkan kepada semua Maritim negeri untuk mengesan lokasi kapal terbabit.

“Kapal tersebut bagaimanapun berjaya dikesan semula oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut berada di perairan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan dipercayai sedang belayar menuju ke utara sekitar jam 9.55 malam tadi.

“Berikutan itu, bot ronda Maritim Melaka dan Negeri Sembilan telah telah digerakkan ke lokasi untuk memintas kapal tersebut yang dikesan semula kira-kira 1.9 batu nautika dari barat daya Pantai Tanjung Tuan pada jam 2.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kapal tangki itu kemudiannya ditahan di posisi kira-kira 15 batu nautika dari pantai Port Dickson.

PEMANTAU udara dilakukan bagi mengesan kapal tangki yang cuba meloloskan diri. Foto- ihsan Maritim Malaysia.

Mengulas lanjut, Haris Fadzillah berkata, susulan itu master dan ketua jurutera kapal wargangera Indonesia berusia 47 dan 44 tahun dibawa ke ibu pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan berlayar tanpa kebenaran pihak berkuasa dari posisi tahanan ketika notis tahanan telah dikeluarkan terhadapnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi oleh semua pihak, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti melanggar perundangan Malaysia di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Jelasnya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post Polis kesan saksi kes pengedaran dadah
Next post Pakar bius maut kemalangan di Batu Pahat
Ubah saiz-+=