Kapal persiaran mewah bawa lebih 200,000 pelancong ke Melaka
SERI NEGERI 20 Ogos – Melaka bakal menerima lebih 200,000 pelancong menerusi persinggahan kapal persiaran mewah Genting Dreams Cruise dari Singapura bermula 10 November depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu bakal dibawa masuk oleh pengendali kapal persiaran mewah terbabit, Resort World Cruises menerusi pakej baharu ‘2 Night Cruises’ yang menghubungkan Singapura ke Melaka.
Menurut Ab Rauf, kapal persiaran mewah tersebut akan singgah ke Melaka setiap hari Isnin selama 52 minggu dengan tempoh 12 jam masa persinggahan sebelum meneruskan semula perjalanan.
“Kehadiran Genting Dreams Cruise di Melaka merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menerusi pakej yang diperkenalkan membuka peluang baik untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
“Selama 12 jam tempoh berlabuh ke Melaka, saya percaya pelawat ini mempunyai banyak masa menikmati keindahan warisan, budaya, makanan dan pengalaman beli- belah yang ditawarkan di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan kapal persiaran yang menjadi produk pelancongan baharu Melaka, di Bilik Mesyuarat Tun Bijasura, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Presiden Resorts World Cruises, Michael Goh.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi tarikan terbaharu itu, ia secara tidak langsung bakal mengubah nisbah pelancong yang datang ke Melaka pada tahun ini.
“Perkara ini sekali gus melonjakkan ekonomi setempat di mana penumpang Genting Dreams Cruise berpeluang melawat pelbagai destinasi ikonik di Melaka seperti Bangunan Stadthuys, Kota A’Famosa, Jonker Street, Menara Taming Sari, dan juga berpeluang menaiki beca serta Melaka River Cruise dengan menelusuri Sungai Melaka.
“Pelancong akan disambut dengan kehangatan hospitaliti Melaka sambil meneroka pelbagai mercu tanda bersejarah, menikmati makanan tempatan yang lazat dan
menelusuri sungai yang dipenuhi dengan pemandangan indah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.